Friday 6 January 2012

Komuniti 1Malaysia dilancar hari ini

RAWANG 5 Jan. - Seramai 25,000 orang dijangka menghadiri pelancaran program Komuniti 1Malaysia (K1M) esok, sebuah program yang dirangka kerajaan untuk mewujudkan masyarakat bermaklumat dengan penglibatan langsung pelbagai kaum.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pelbagai aktiviti menarik telah diatur sepanjang tiga hari program itu berlangsung.

"Kita menggesa masyarakat Hulu Selangor supaya tampil ke kawasan ini seramai mungkin bagi menunjukkan kita bersatu hati," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan raptai penuh pelancaran program itu di Padang Jalan Kantan, Bukit Sentosa di sini, hari ini.

Rais berkata, program itu yang sebelum ini dikenali sebagai program Komuniti Bestari, akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Selepas ini kita akan laksanakan di Bakri (Johor) pada Februari. Di Johor, mungkin kita buat alihan sikit supaya isian tempatan di Bakri itu kita ubahsuai (mengikut) sentimen tempatan," kata Rais.

Pada majlis yang sama esok, buku hasil tulisan Rais bertajuk Cabinet Governing akan dilancarkan oleh Perdana Menteri.

Turut hadir pada raptai hari ini ialah Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Kamaruddin Siaraf dan Anggota Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment