Monday 9 January 2012

Kerajaan sentiasa kotakan janji

Najib Tun Razak menunaikan solat sunat sebelum menunaikan solat Jumaat di Masjid Jamek Ar-Rahimah, Kuala Kubu Bharu, Selangor, semalam. Turut serta Noh Omar dan Orang Besar Daerah Hulu Selangor, Datuk Aman Shah Mohd. Sohor (tiga dari kanan). - BERNAMA



HULU SELANGOR 6 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Kerajaan Pusat pimpinan Barisan Nasional (BN) sentiasa mengotakan janji dalam apa cara sekalipun demi memastikan kesejahteraan rakyat.

Perdana Menteri berkata, ini terbukti dengan pelaksanaan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Kampung Hassan di Gedangsa dekat sini seperti dijanjikan pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor pada April 2010.

"Projek ini telah sekali lagi menunjukkan bila Kerajaan BN janji, kita tetap tunaikan janji kita.

"Malah pagi tadi saya telah buat satu 'tweet' (laman mikro twitter) bahawa saya akan turun ke Hulu Selangor untuk berjumpa dengan rakyat memastikan semua janji pilihan raya dapat kita tunaikan," katanya ketika berucap sebelum melawat tapak projek PPR berkenaan di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Chor Chee Heung, Timbalannya, Datuk Seri Lajim Ukin, Timbalan Pengerusi Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar dan Ahli Parlimen Hulu Selangor, Datuk P. Kamalanathan.

Dalam pada itu, Najib memberitahu, kerajaan telah mengarahkan kontraktor supaya mengekalkan sebuah kuil Hindu lama di kawasan projek berkenaan setelah mengambil kira sensitiviti masyarakat India setempat.

"Itu salah satu contoh projek ini menepati cogan kata kita iaitu 'Rakyat Didahulukan Pencapaian Diutamakan.

"Kita cari jalan seberapa boleh, kalau tak ada tanahpun, kita cari ikhtiar sehingga dapat tapak ini dan kita gunakan kaedah pelaksanaan yang sangat baik," katanya.

Dalam pada itu, Chee Heung berkata, kementerian akan mengutamakan penjualan 300 unit rumah rakyat tersebut kepada 133 keluarga asal di Kampung Hassan dan selebihnya akan dibuka kepada pemastautin di sekitar daerah berkenaan.

"Kementerian akan menubuhkan sebuah jawatankuasa khas bagi mentadbir penjualan rumah berkenaan," katanya.

Sebanyak 300 unit rumah teres PPR setingkat itu kini dalam pembinaan dan dijangka siap sebelum Julai 2013, iaitu lebih awal daripada jadual asal.

Kos bagi setiap unit rumah dengan tiga bilik tidur itu adalah sebanyak RM136,666.67 tetapi ditawarkan pada RM35,000 melalui kaedah Sistem Pembinaan Berindustri (IBS) atau 'pasang-siap'.

Projek di atas tanah berkeluasan kira-kira 10.8 hektar itu menelan belanja RM41 juta dengan dilengkapi kemudahan seperti surau, dewan serbaguna, gerai makanan, gelanggang futsal dan gelanggang bola keranjang.

No comments:

Post a Comment