ALOR GAJAH 29 Jan. - Kedatangan tahun 2012 memberi sinar kepada dua keluarga berpendapatan rendah apabila masing-masing menerima bantuan membaiki rumah mereka yang daif.
Menerusi Program Bantuan Rumah (PBR) 2011 Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, kini keluarga terbabit mampu mengukir senyum, selesa dengan rumah yang telah dibaik pulih itu.
Bagi pasangan Din Yassin, 87, dan isterinya, Rabiah Dollah, 77, yang tinggal di Batu 24, Kampung Ayer Paabas, di sini berkata, mereka amat berterima kasih dengan bantuan membaiki rumah tersebut.
"Kami lega atas keprihatinan kerajaan kerana menyalurkan bantuan untuk membaiki rumah saya. Kini kami hidup cukup selesa dan tenang tanpa perlu risau atap bocor apabila setiap kali hujan," katanya ketika ditemui di sini, semalam.
Lebih mengejutkan kedua-dua warga emas itu apabila Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal membuat lawatan dan menikmati makan tengah hari di rumah mereka.
Peruntukan sebanyak RM9,541 adalah untuk membaikpulih atap, dinding dan lantai milik rumah Din yang juga bekas anggota polis yang bertugas sewaktu peristiwa hitam Bukit Kepong pada 1950 itu.
Bagi suri rumah, Tuyah Sulai yang tinggal di Kampung Jelatang, di sini melahirkan rasa syukur apabila kerajaan sanggup membaiki rumah yang didiami sejak 25 tahun itu.
"Kini saya dan suami serta tujuh orang anak dapat hidup selesa. Jika sebelum ini rumah bocor setiap kali hujan, tetapi kini tidak lagi. Saya amat berterima kasih kepada kerajaan," katanya.
Rumah yang didiami Tuyah mengalami kebocoran atap dan lantai dan dibaiki menerusi peruntukan sebanyak RM10,649 dengan kerjasama GiatMARA.
Tuyah turut melahirkan rasa terharu dengan kunjungan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah yang juga sudi menikmati hidangan di rumahnya.
"Saya tidak sangka menerima kunjungan seorang menteri yang sebelum ini hanya tengoknya di televisyen," ujarnya.
No comments:
Post a Comment