Thursday, 26 January 2012

GLC patut 'ambil' kuota bumi

Oleh AINUL ASNIERA AHSAN
bisnes.utusan@gmail.com

KUALA LUMPUR 25 Jan. - Syarikat-syarikat milik kerajaan yang bergiat dalam sektor hartanah dan unit amanah hartanah wajar membeli kediaman kuota Bumiputera untuk mengelak aset berkenaan 'bertukar tangan'.

Pensyarah Kanan Jabatan Pengurusan Hartanah Fakulti Seni Bina, Perancangan dan Ukur Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shahrom Md. Ariffin berkata, pendekatan itu dilihat sebagai cara terbaik dan lebih praktikal dalam usaha menyelamat hartanah yang diperuntukan kepada Bumiputera.

Beliau berkata, masalah kediaman tidak terjual itu disebabkan pembeli Bumiputera berminat tetapi masih belum membelinya.

Justeru, katanya, sekiranya kediaman-kediaman berkenaan dibeli oleh GLC , sekurang-kurangnya hak yang diperuntukan kepada Bumiputera terjamin.

''Siapa kata Bumiputera tidak berminat untuk memiliki kediaman, banyak yang masih mencari-cari dengan tumpuan terhad kepada kediaman berkos rendah dan sederhana. Jumlah Bumiputera yang mampu memberi rumah sederhana mewah dan mewah begitu kecil.

''Oleh itu, saya syorkan Permodalan Hartanah Bhd., Permodalan Nasional Bhd., Majlis Amanah Rakyat, Amanah Raya Bhd. atau Lembaga Tabung Haji mengambil alih hartanah-hartanah tersebut.

''Kalau Bumiputera secara individu tidak mampu, saya yakin agensi-agensi ini berupaya kerana mereka memiliki dana yang besar,'' katanya kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas cadangan Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) supaya status hartanah lot Bumiputera ditukar secara automatik kepada bukan Bumiputera jika gagal dijual dalam tempoh masa tertentu.

Cadangan itu dibuat bagi mengatasi kerugian yang didakwa terpaksa ditanggung oleh pemaju ekoran gagal menjual hartanah berkenaan, selain perlu melunaskan kos tertentu untuk mengubahnya ber dasarkan undang-undang semasa.

Presidennya, Datuk Seri Michael K C Yam berkata, kaji selidik yang dilakukan REHDA mendapati masalah kegagalan menjual hartanah lot Bumiputera merupakan punca paling utama kerugian ditanggung oleh pemaju untuk empat tahun berturut-turut.

Mengulas mengenai tersebut, Shahrom mengakui REHDA tidak boleh dipersalahkan berhubung cadangan yang dilontarkan.

Ini kerana isu berkenaan adalah perkara lapuk yang dibincangkan hampir setiap tahun oleh para pemaju tetapi ia tidak dilihat secara serius oleh mana-mana pihak.

Akibatnya, kata beliau, isu itu bersifat bermusim tanpa tidak diketahui bilakah jalan penyelesaiannya mampu dilaksanakan.

Bagaimanapun, tegas beliau, jalan penyelesaian perlu dilihat secara teliti oleh kerajaan untuk mengelakkan para pemaju hartanah tempatan rugi dan pada waktu yang sama pertahankan hak Bumiputera.

Shahrom menambah, cadangan menukar hak milik hartanah yang diperuntukan itu tidak wajar dipertimbangkan kerana dikhuatiri keistimewaan itu akan hilang secara perlahan-lahan.

''Mekanisme yang betul perlu dibincang, diteliti dan dilaksanakan. Tetapi saya berpendapat kuota kediaman Bumiputera boleh diselamatkan oleh agensi-agensi terbabit,'' katanya.

Beliau berkata, di sebalik tumpuan agensi-agensi berkaitan kepada hartanah komersial, mereka boleh menambah hartanah kediaman sebagai portfolio baharu terutama di kawasan-kawasan utama yang berpotensi besar dan berdaya saing.

''Contohnya di kawasan Mont Kiara dan tengah-tengah kawasan segi tiga emas Kuala Lumpur kerana kediaman di kawasan ini tidak akan jatuh dan baik untuk pelaburan jangka panjang.

''Dengan pembelian kediaman, entiti-entiti terbabit bukan sahaja membantu menangani masalah pemaju, pada masa sama GLC mampu mempertahan dan menyelamatkan hak milik Bumiputera.

''Mungkin kediaman yang mahal itu tidak mampu dimiliki Bumiputera pada masa sekarang, tetapi mungkin boleh dijual pada tahun-tahun mendatang. Siapa tahu ketika itu banyak Bumiputera yang mampu,'' katanya.

No comments:

Post a Comment