Monday 9 January 2012

Dana BR1M bukan pinjaman Bank Dunia

HULU SELANGOR 6 Jan. - Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menegaskan sumber pembiayaan untuk program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah daripada kekuatan ekonomi dalaman negara dan bukannya melalui pinjaman Bank Dunia seperti mana yang dituduh oleh pihak pembangkang.

Sehubungan itu, Perdana Menteri mahu rakyat tidak terpengaruh dengan fitnah serta dakyah palsu yang disebarkan oleh pembangkang kerana ternyata dakwaan tersebut merupakan dusta politik.

Beliau berkata, rakyat harus tahu kali terakhir Malaysia membuat pinjaman daripada Bank Dunia adalah pada tahun 1998 iaitu sebanyak AS$400 juta (RM1.28 bilion).

"Inilah fakta yang sebenarnya. Sumber program BR1M adalah daripada kekuatan ekonomi dalaman negara dan bukannya kita membuat pinjaman daripada Bank Dunia. Sebenarnya apa yang dilakukan oleh pihak pembangkang ini adalah satu bentuk pembohongan yang sengaja diada-adakan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan pelancaran Komuniti 1Malaysia di hadapan kira-kira 10,000 rakyat pelbagai lapisan di Padang Jalan Kantan, Bukit Sentosa, di sini, hari ini.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Program BR1M merupakan satu bentuk bantuan kewangan daripada kerajaan sebanyak RM500 dan diberikan kepada keluarga seisi rumah berpendapatan kurang daripada RM3,000 sebulan.

Ia diumumkan oleh Najib yang juga Menteri Kewangan pada pembentangan Bajet 2012 di Dewan Rakyat tahun lepas.

Najib dalam ucapannya turut mencabar pihak pembangkang menunjukkan bukti sekiranya mereka terus mempertahankan dakwaan bahawa sumber pembiayaan BR1M datangnya daripada Bank Dunia.

"Jangan cakap sahaja, tunjukkan bukti. Kita tidak gentar. Kita tidak takut kerana kita berdiri atas kebenaran. Bukan seperti mereka yang selalu berdusta, berbohong dan menyebarkan fitnah," katanya lagi.

Dalam pada beliau berkata, kekuatan ekonomi dalaman negara terus menunjukkan peningkatan. Antara petunjuknya ialah peningkatan kutipan hasil negara sebanyak RM22 bilion pada tahun 2011 berbanding 2010.

Perdana Menteri berkata, begitu juga kemampuan kerajaan menaikkan kadar gaji untuk kakitangan awam bermula tahun ini melalui Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dalam keadaan gaji penjawat awam di beberapa negara Eropah terpaksa dipotong kerana masalah kegawatan ekonomi.

Dalam perkembangan berkaitan, Najib turut menjelaskan pelaksanaan program BR1M dilakukan dengan penuh tanggungjawab iaitu tanpa berlakunya pertambahan hutang.

"Untuk pengetahuan, defisit negara menurun walaupun kita melaksanakan program BR1M. Mengenai agihan, kita jangka ia akan dilaksanakan mulai pertengahan bulan ini kepada setiap keluarga yang layak," ujarnya.

Sementara itu, beliau menempelak kerajaan Selangor kerana menolak permohonan status tanah bagi melaksanakan projek perumahan generasi kedua Felda seperti mana yang pernah dijanjikan pada Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor 2010.

Mengenai Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) Najib berkata, beliau belum mendapat ilham tetapi apabila tiba masanya rakyat perlu memilih Barisan Nasional (BN) demi masa depan mereka.

Berhubung penubuhan Komuniti 1Malaysia, ia bertujuan memperkasakan semangat perpaduan antara masyarakat pelbagai kaum dalam komuniti, memupuk semangat kesukarelaan dan berdikari, meningkatkan ilmiah pengetahuan selain menjadi ejen perubahan damai komuniti.

Sehingga kini terdapat 1,115 buah pusat komuniti 1Malaysia di seluruh negara di bawah seliaan Jabatan Penerangan Malaysia, Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

No comments:

Post a Comment