Saturday, 21 January 2012

Sasar disenarai 20 negara inovatif reka bentuk

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Malaysia menyasarkan untuk disenaraikan antara 20 negara paling inovatif dan kompetitif dalam bidang reka bentuk bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Seri Idris Jusoh berkata, usaha tersebut akan dilaksanakan melalui anak syarikatnya, Pusat Pembangunan Reka Bentuk Sdn. Bhd. (DDEC).

Menurutnya, pada masa ini Malaysia menduduki tempat keenam dalam bidang berkenaan di Asia Tenggara.

"Walaupun tempoh tersebut adalah sasaran Indeks Prestasi Utama (KPI) namun kita akan berusaha meletakkan Malaysia dalam senarai tersebut dalam lapan tahun ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan Tahun Reka Bentuk Malaysia (MDY) 2012 pada majlis yang turut dihadiri oleh Pengerusi DDEC, Datuk Md. Othman Yusuf dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad di sini, hari ini.
Idris berkata, bagi mencapai sasaran itu, pihaknya akan mengkaji semula peruntukan sedia ada.

"Dalam Bajet 2012, kerajaan memperuntukkan RM100 juta bagi menggalakkan inovasi dan komersialisasi, namun kita percaya dalam hal ini peruntukan itu boleh dikaji semula,’’ katanya.

Sementara itu, Md. Othman berkata, MDY 2012 merupakan program julung kali diadakan oleh DDEC dan akan diadakan setiap bulan.

Antara programnya merangkumi seminar, persidangan, ekspo dan pertandingan melibatkan penggiat industri reka bentuk.

"Ia bertujuan meningkatkan kualiti penjenamaan produk supaya lebih berdaya saing di peringkat antarabangsa,’’ katanya.

Selain itu, kata beliau, MDY 2012 bertujuan menggalakkan penjanaan dan perkongsian ilmu berkaitan industri reka bentuk antara penggiat industri reka bentuk tempatan dan antarabangsa.- UTUSAN

No comments:

Post a Comment