Thursday 19 January 2012

‘Kes penjawat awam tipu gred terpencil’

2012/01/19

PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, menyifatkan kes bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan yang dituduh memalsukan dokumen kenaikan pangkat dan gred sejak 2009, kelmarin, sebagai terpencil.

Walaupun mempertahankan sistem kenaikan pangkat digunakan kerajaan pada masa ini, beliau berkata, semua penjawat awam yang didapati menipu dalam urusan kenaikan pangkat dihukum mengikut undang-undang.

“Tidak ramai melakukan kesalahan ini, hanya seorang dibawa ke muka pengadilan daripada 1.4 juta kakitangan awam kerana melakukan penipuan. Sistem (kenaikan pangkat) sudah cukup baik untuk mengesan penipuan ini.

“Kita akan mengambil tindakan walaupun yang melakukan penipuan ini Ketua Setiausaha (kementerian). Mereka yang melakukan kesalahan harus dihukum,” katanya selepas Majlis Penyerahan Watikah Perlantikan kepada 10 ahli pasukan petugas mengkaji semula Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SBPA) di sini, semalam.

Beliau berkata, sistem kenaikan pangkat pada masa ini yang berjaya mengesan penipuan membuktikan ia cukup baik untuk digunakan dalam perkhidmatan awam.

Kelmarin, Bekas Pengarah Veterinar Negeri Sembilan, Datuk Dr Soeraya Norsham, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas empat pertuduhan memalsukan dokumen kenaikan pangkat dan gred sejak 2009.

No comments:

Post a Comment