HULU LANGAT 29 Jan. - Seramai 20 pelajar cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di Sekolah Kebangsaan Bandar Tasik Kesuma kembali ke sekolah mereka baru-baru ini untuk berkongsi resipi kejayaan bersama-sama 320 calon yang bakal menduduki peperiksaan tersebut tahun ini.
Selain taklimat motivasi, kumpulan terbabit turut menjayakan siri latihan dalam kumpulan (LDK) sebagai sebahagian Program Motivasi Jati Diri anjuran sekolah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).
Seorang pelajar cemerlang terbabit, Siti Norsarah Suhaimi, 16, berkata, dia teruja diberi peluang untuk berkongsi kejayaan bersama murid lain dan menyifatkannya sebagai satu penghargaan yang besar.
Dia yang kini belajar di Kolej Tunku Kurshiah, Seremban berkata, rahsia kejayaannya ialah fokus di dalam kelas dan sentiasa melakukan ulang kaji untuk menguji kemampuan diri.
Seorang lagi bekas pelajar, Muhammad Mirza Hikarl Nor Azman, 15, berkata, kehadirannya adalah bagi membalas budi sekolah berkenaan yang pernah mendidiknya.
Dia yang kini belajar di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuala Klawang berkata, setiap murid perlu meletakkan sasaran semasa belajar dan melakukan tindakan yang bersesuaian bagi mencapai sasaran tersebut.
Dalam pada itu, Guru Besar sekolah tersebut, Rusda Mosdaram berkata, ini adalah pertama kali program tersebut diadakan membabitkan bekas pelajar cemerlang sekolah berkenaan.
"Kita berharap mereka akan menjadi contoh dan dapat memberi semangat kepada calon UPSR tahun ini untuk berjaya seperti abang dan kakak mereka," ujarnya.
Sementara itu Yang Dipertua PIBG sekolah berkenaan, Nor Azman Amat Kalam berkata, program tersebut membuktikan sekolah dan PIBG mempunyai tanggungjawab bersama memastikan kecemerlangan pelajar.
No comments:
Post a Comment