Monday 31 May 2010

Cadangan penambahbaikan MARA, MRSM

KUALA LUMPUR 27 Mei - Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah sedang merangka proses penambahbaikan bagi meningkatkan tahap profesionalisme Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).

Menterinya, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata, berbekalkan 50 tahun pengalaman, MARA perlu diperkasakan untuk kembali menjadi sebuah organisasi yang berdikari, merdeka dan profesional.

Menurutnya, untuk tujuan itu, salah satu bidang yang akan dipandang serius dalam proses penambahbaikan tersebut ialah pendidikan terutamanya membabitkan MRSM.

"Pihak kementerian berpandangan, kita perlu menilai kembali bagaimana pendidikan MARA mampu menyumbang secara langsung dan efektif kepada misi, visi serta pelan strategik agensi itu.

"Justeru itu, sistem persekolahan MRSM sedia ada yang masih berorientasikan peperiksaan (exam oriented) harus dinilai semula,'' katanya pada majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2009 di Institut Kemajuan Desa (Infra), Bangi, dekat sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh timbalannya, Datuk Joseph Entulu Belaun.

Seramai 389 kakitangan kementerian itu yang menunjukkan pretasi cemerlang sepanjang tahun lalu menerima anugerah berkenaan.

Daripada jumlah itu, 36 orang merupakan kakitangan kumpulan pengurusan dan profesional manakala selebihnya kakitangan kumpulan sokongan serta kontrak.

Mengulas lanjut, Mohd. Shafie berkata, sistem persekolahan MRSM ketika ini agak kurang menekankan aspek keusahawanan serta pembentukan kemahiran.

"Ini adalah antara cadangan sebaik sahaja saya mempengerusikan Mesyuarat Kajian Penambahbaikan dan Hala Tuju MARA Ke Arah Kecemerlangan, awal minggu ini.

"Kita telah membincangkannya dengan terperinci. Pelbagai idea diterima dan ada sebahagian daripada cadangan itu memerlukan kajian lanjut serta perancangan teliti sebelum ia dilaksana,'' jelasnya.

Ujar beliau, selain pendidikan, dua bidang lain yang turut diberikan perhatian adalah khidmat pengurusan dan keusahawanan dalam MARA.

Sementara itu jelas Shafie, kementerian baru-baru ini menubuhkan sebuah unit khas yang memberi perhatian khusus kepada Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Model Baru Ekonomi (MBE).

Unit tersebut, katanya, akan merangka model ekonomi baru luar bandar bagi melonjakkan pendapatan per kapita rakyat daripada AS$7,000 (RM22,050) kepada AS$15,000 (RM47,250) menjelang 2020.

"Sebuah makmal khas akan ditubuhkan dalam masa terdekat bagi membincangkan strategi serta kaedah bagaimana membawa rakyat luar bandar mencapai tahap ekonomi berpendapatan tinggi,'' jelasnya.

Menurut Mohd. Shafie, dalam usaha meningkatkan ekonomi rakyat luar bandar, infrastruktur luar bandar perlu dipertingkatkan.

"Atas dasar itu, sehingga semalam, pembinaan 407.79 kilometer jalan raya di luar bandar di seluruh negara telah siap dilaksanakan.

"Dalam isu kemudahan rumah pula, sejumlah 6,576 buah lagi telah disambungkan dengan kemudahan bekalan air manakala sebanyak 599 buah rumah mendapat faedah bekalan elektrik,'' tambahnya.

No comments:

Post a Comment