Thursday 27 May 2010

Syarat lebih ketat beri pinjaman MARA

SUNGAI PETANI 26 Mei - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan mengambil pendekatan lebih selektif termasuk memperketatkan syarat untuk meluluskan pinjaman kepada usahawan bumiputera bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak diberi kemudahan berkenaan. 
Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, langkah itu juga boleh mengurangkan masalah kegagalan melunaskan hutang di kalangan peminjam MARA pada masa akan datang.

"MARA sekarang mempraktikkan konsep mudah jaya iaitu kita akan kenal pasti usahawan yang mempunyai ciri-ciri jati diri, inovatif, kreatif, disiplin dan sanggup kerja kuat untuk dibantu.

"Kita tidak lagi bantu semua orang. Hanya mereka yang mudah jaya akan diberikan pinjaman. Usahawan yang akan diberi pinjaman juga perlu menjalani ujian-ujian tertentu seperti dari aspek kepimpinan dan ciri-ciri bersesuaian yang lain," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucaptama sempena Persidangan Antarabangsa Mengenai Sains Sosial dan Polisi Awam anjuran Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi (FSPPP) Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan UiTM Kedah di sini hari ini.

Menurut Idris, dasar pemberian pinjaman MARA kini perlu berubah sejajar dengan perkembangan semasa.

"Sekarang, senario sudah berubah. Usahawan ada di sana sini. Memang semua hendak dapatkan pinjaman, tapi apabila kita beri, tak semua yang mampu bayar balik. Bila tak bayar, dia diisytiharkan muflis dan MARA pun rugi kerana tak dapat balik wang," jelasnya.

No comments:

Post a Comment