KUALA KUBU BARU, 3 April (Bernama) -- Sambutan masyarakat setempat di Hulu Selangor terhadap kedatangan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam program tinjauan mesranya ke beberapa kawasan di sini cukup hangat.
Malah suasana sepi di bandar ini tiba-tiba menjadi begitu meriah dengan kehadiran lebih 700 pelajar Cina yang memakai t-shirt yang tertera perkataan "1Malaysia supporter" yang begitu bersemangat dengan melaungkan "1Malaysia" mengiringi lawatan Perdana Menteri itu.
Najib yang meluangkan masa kira-kira setengah jam dalam tinjauan mesranya yang bermula pukul 4.15 petang kelihatan gembira dengan sambutan anak muda penyokong 1Malaysia itu.
Beliau singgah dari kedai ke kedai dan bersalaman dengan penduduk tempatan yang sememangnya menunggu-nunggu kehadiran Perdana Menteri.
Seorang pelajar S.M.K Syed Mashor Ulu Yam, Soo Yong Hoon, 17, yang begitu bersemangat mengiringi Najib dalam tinjauan mesranya bersama rakan-rakannya, ketika ditemui berkata beliau "Gembira dapat tengok Perdana Menteri".
Walaupun hujan renyai-renyai ia tidak menghalang orang ramai untuk bersemuka dengan Najib, malah bagi pemilik Kedai Makanan Hailam Sun Sun Nam Cheong, Tan Siew Siwan, 64, beliau begitu terharu kerana Najib sudi singgah di kedainya sambil bertanyakan sekiranya pemilik kedai itu ada sebarang masalah.
"Sekarang orang dah kenal Kuala Kubu Bharu sebab PM lawat sini," kata Tan tersengih ketika ditanya pemberita mengenai lawatan Najib.
Bersama beberapa pemimpin komponen parti Barisan Nasional termasuk Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, Perdana Menteri turut menjamah hidangan istimewa di kedai itu iaitu mee hailam serta kuih-muih dan kopi "O" panas.
Najib tidak lekang dari senyuman apabila pelajar-pelajar Cina dari seluruh kawasan Parlimen Hulu Selangor melaungkan "1Malaysia" sebagai tanda sokongan kepada Perdana Menteri sebaik keluar dari kedai makan itu.
Kira-kira pukul 4.45 petang sebelum meneruskan tinjauan mesranya melawat masyarakat India di Bukit Teratai, Najib sempat melaungkan "iker", yang bermakna satu dalam bahasa Mandarin sebanyak tiga kali sebelum memasuki keretanya, yang disambut dengan teriakan "Malaysia" oleh mereka yang berada di situ.
-- BERNAMA
No comments:
Post a Comment