Friday, 23 April 2010

Kampus baru UniKL Mitec beroperasi 2011

JOHOR BAHRU - Kampus tetap Universiti Kuala Lumpur (UniKL Mitec) di Bandar Seri Alam dekat sini yang dibina di atas tanah seluas 60 hektar dijangka memulakan operasi pada tahun depan.

Dekan UniKL Mitec, Prof. Madya Dr. Khairanum Subari berkata, projek berkenaan kini berada di tahap 90 peratus siap.

Beliau berkata, mahasiswa akan dapat menikmati kemudahan yang serba lengkap seperti 13 makmal termasuk makmal bahasa, 12 bengkel yang canggih serta alatan terkini serta bangunan tiga tingkat yang menempatkan perpustakaan kampus berkenaan.

"Seperti yang diketahui, bangunan yang diduduki sekarang adalah kampus sementara. Setelah bangunan di Bandar Seri Alam itu siap, kami akan berpindah ke sana.

"Bangunan tersebut itu juga mampu menampung kira-kira 3,000 pelajar selain dilengkapi asrama, pusat kegiatan pelajar dan pusat sukan," katanya pada majlis perasmian Hari Terbuka UniKL Mitec Pasir Gudang di sini hari ini.

Hari terbuka kali kedua itu masih mengekalkan tema seperti tahun lalu iaitu Mendekati Masyarakat.

Program dua hari itu adalah titik tolak kepada kampus berkenaan untuk bertemu dengan segenap lapisan masyarakat sekitar dan mengeratkan lagi hubungan silaturahim.

Turut hadir, Timbalan Presiden (Teknousahawan dan Hal Ehwal Mahasiswa), Prof. Dr. Abu Talib Othman dan Ketua Unit Pendidikan dan Latihan Majlis Amanah Rakyat Malaysia (MARA), Aminah Abdul Samad.

Tambah Khairanum, buat julung kalinya UniKL memperkenalkan 12 anugerah untuk diberikan kepada mahasiswa sebagai tanda penghargaan kerana jasa dan semangat juang dalam memartabatkan nama baik dan imej universiti.

Antara anugerah tersebut ialah Anugerah Kepimpinan Harapan Siswa Terbaik, Anugerah Kepimpinan Harapan Siswi Terbaik, Anugerah Sahsiah Terbaik dan Anugerah Tokoh Apresiasi.

"Anugerah tersebut mengambil kira penglibatan mereka di dalam aktiviti kokurikulum seperti program-program anjuran universiti serta yang paling penting iaitu pencapaian akademik.

"Dengan anugerah tersebut, ia diharapkan mampu mewujudkan tindak balas positif daripada mahasiswa dengan memberikan yang terbaik bukan sahaja dalam akademik tetapi kokurikulum," katanya.

No comments:

Post a Comment