Tuesday, 30 March 2010

3,000 banjiri Karnival Pendidikan MARA

KUALA TERENGGANU 29 Mac - Sebanyak 3,000 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) membanjiri Pusat Dagangan Terengganu (TTC) sempena Karnival Pendidikan MARA 2010 Peringkat Zon Timur, di sini semalam.

Lebih 60 institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) dari seluruh negara menyertai karnival kali kedua itu selepas Kuantan menjadi tuan rumah tahun lalu.

Karnival dua hari itu dirasmikan oleh Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Muhamad.

Turut hadir, Pengarah MARA Terengganu, Razali Nurdad.

Razali dalam ucapannya menggesa pelajar lepasan SPM dan STPM perlu memanfaatkan sepenuhnya maklumat berkaitan peluang pengajian dan masa depan kerjaya pendidikan pada karnival berkenaan.

"Kita harap para pelajar yang baru menerima keputusan SPM dan STPM tempoh hari dapat manfaatkan peluang dengan mengunjungi karnival dua hari ini demi masa depan pengajian dan kerjaya mereka," katanya.

Beliau memberitahu, antara tujuan karnival itu diadakan bagi mendedahkan para pelajar lepasan SPM dan STPM mengenai peluang pendidikan yang ditawarkan MARA.

Katanya, karnival itu turut membantu para pelajar membuat pilihan tepat mengenai bidang pengajian yang bersesuaian dengan minat dan kelayakan akademik mereka.

"Karnival ini juga menjadi platform kepada MARA untuk mempromosikan Institusi Pendidikan MARA dan IPTS kepada orang ramai," katanya.

No comments:

Post a Comment