Monday, 8 March 2010

Anuar Manan Raja Pecut

KUALA LUMPUR – Sejarah terpahat di Le Tour de Langkawi (LTdL) 2010 selepas pelumba tempatan Anuar Manan dinobatkan pemenang jersi hijau (Raja Pecut) sebaik tamat perlumbaan dari Kuala Kubu Bharu ke Dataran Merdeka, semalam.

Pelumba pasukan Benua, Geumsan Ginseng itu juga melakar sejarah menjadi pelumba pertama dari Malaysia dan Asia memenangi jersi hijau sejak edisi pertama 1996.

Selepas bersaing sengit dengan pelumba Jayco-Skins, Michael Matthews sepanjang tujuh perlumbaan, Anuar akhirnya berjaya mengumpul 103 mata mengatasi Matthews yang sekadar memungut 82 mata.

Pada perlumbaan terakhir yang menutup tirai, semalam, Anuar menamatkan saingan tempat keempat tetapi dia tidak memperoleh mata di ketiga-tiga zon pecutan.

Pelumba Drapac Porsche, Stuart Shaw menjadi pelumba pertama melintasi garisan penamat diikuti, Vidal Celis (Footon-Servetto) di tempat kedua manakala Rene Haselbacher (Vorarlberg Corratec) ketiga.

Jersi kuning kekal milik pelumba ISD-Neri, Jose Rujano Guillen, sementara Peter McDonald (Drapac Porsce) kembali merampas jersi polka dot (Raja Bukit) manakala Hyo Suk Gong merangkul jersi biru (pelumba terbaik keseluruhan Asia) dalam saingan LTdL 2010.

Bagi Anuar, memenangi jersi hijau merupakan salah satu kejayaan yang terbaik dalam kariernya dan dia berhasrat untuk terus kekal bersama pasukan Geumsan Ginseng selepas tamat perlumbaan LTdL 2010.

“Saya akan berlumba di Eropah pula selepas ini, mungkin di Perancis, saya akan berada di sana selama tiga bulan bermula Jun depan,” katanya pada sidang media selepas tamat perlumbaan.

Jelasnya, tidak ada yang lebih menggembirakan beraksi di LTdL selepas berjaya menepati sasaran memenangi jersi hijau dan memenangi salah satu dari tujuh peringkat perlumbaan.

“Pasukan ini sangat bagus, sekurang-kurangnya saya berjaya keluar dari kelompok pelumba Asia dan bersaing dengan pelumba Eropah yang lain.

“Saya memang berharap untuk berlumba di Eropah dan jika saya mendapat pasukan yang baik seperti ini ia memang mampu mempertingkatkan kemahiran saya,” kata pelumba berusia 24 tahun itu.

Pelumba kelahiran Kuala Ibai, Terengganu itu berkata, dia masih lagi perlu memperbaiki teknik kayuhan jika mahu setanding dengan pelumba hebat lain dari Eropah.

“Walaupun muncul Raja Pecut di LTdL tetapi saya perlu terus berlatih dengan gigih untuk berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan pelumba Pro Tour,” ujarnya.








No comments:

Post a Comment