Pada 25 Feb 2010 yang lalu, Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah menjalin kerjasama dengan Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) bagi Skim Jaminan MARA untuk membantu usahawan Bumiputera yang terbabit dalam industri kecil dan sederhana (IKS).
Pengerusi MARA, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, Kementerian Kewangan sudah meluluskan pinjaman RM30 juta bagi melaksanakan skim itu dengan usahawan yang layak akan mendapat kemudahan jaminan pembiayaan perniagaan sehingga 80 peratus daripada agensi itu.
Beliau berkata, baki jaminan 20 peratus lagi pula akan ditanggung sendiri usahawan terbabit mengikut syarat yang sudah ditetapkan pihak bank.
Menurutnya, skim itu juga diperkenalkan kerana usahawan IKS Bumiputera sering berdepan masalah mendapatkan pinjaman kerana tidak mempunyai cagaran mencukupi.
“Pada peringkat awal, Bank Muamalat akan menyediakan kemudahan pinjaman bermula dari RM500,001 hingga RM2 juta.
“Sekiranya skim itu berjalan lancar dan mendapat sambutan menggalakkan, MARA mungkin akan meningkatkan skim jaminan ini untuk jumlah pembiayaan lebih besar,” katanya kepada media selepas majlis memeterai perjanjian persefahaman (MoU) itu antara MARA dan Bank Muamalat di Shah Alam.
Katanya, sebagai permulaan, MARA menjangka 50 hingga 100 usahawan Bumiputera yang layak akan dibiayai melalui skim jaminan itu.
Beliau berkata, skim itu hanya ditawarkan kepada mereka yang layak bergelar usahawan dan mempunyai strategi perniagaan yang realistik dan komited serta menjalankan perniagaan IKS mengikut syariah.
“Sekarang ini terlalu ramai yang mahu menjadi usahawan, ada yang tidak serius. Jadi skim ini khas untuk mereka yang betul-betul memerlukan pinjaman untuk mengembangkan perniagaan, bukan untuk tujuan lain,” katanya.
Menurutnya, skim itu juga diperkenalkan selaras program ‘Groom Big’ oleh MARA bertujuan menaik taraf perniagaan usahawan sedia ada kepada skala lebih besar termasuk menembusi pasaran global.
“Faktor kedua yang memerlukan MARA mewujudkan skim ini kerana MARA mempunyai dana terhad bagi memenuhi permohonan pembiayaan yang meningkat setiap tahun.
“Sepanjang Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9), MARA sudah meluluskan 38,070 permohonan pembiayaan perniagaan berjumlah RM1.7 billion,” katanya.
Pada majlis sama, Idris turut mengumumkan pelantikan Bank Muamalat sebagai Penasihat Syariah kepada MARA untuk tahun keempat.
“MARA berharap panel syariah Bank Muamalat akan dapat terus membantu MARA bagi membangunkan produk baru dan mewujudkan sistem operasi, teknik, peraturan dan piawaian selaras kehendak syariah,” katanya. - Bernama
No comments:
Post a Comment