Wednesday, 3 March 2010

MARA mahu hantar pelajar ke Oxford, Harvard

KUALA LUMPUR: Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk menghantar lebih ramai pelajar untuk melanjutkan pelajaran di Universiti berprestij dan ternama seperti Oxford dan Harvard di London dalam tempoh terdekat ini sebagai usaha melahirkan graduan bertaraf dunia.

Pengerusinya, Datuk Seri Idris Jusoh, berkata usaha berkenaan adalah salah satu strategi diatur oleh MARA yang menyasarkan peranannya sebagai 'global player' dalam tempoh enam tahun lagi dalam melahirkan produk khususnya usahawan dan pelajar bumi putera lebih berdaya saing.

"MARA tidak boleh terus berada di dalam zon selesa dan berpuas hati walaupun selepas kejayaan dihasilkan oleh produk di bawahnya, tetapi perlu mengorak langkah lebih mantap untuk meningkatkan lagi pencapaian hingga ke peringkat dunia.
 
"Sejak program melanjutkan pelajaran ke luar negara di perkenalkan, pelajar kita masih belajar di Universiti yang sama. Kita mahu pelajar juga bertaraf dunia dengan menghantar lebih ramai pelajar ke universiti lebih terkemuka di dunia agar mampu bersaing di peringkat global," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Bacaan Yassin dan Tahlil Sempena Ulang tahun MARA ke 44 dan Sambutan Maulidur Rasul 1431 Hijrah bersama kakitangan MARA di ibu pejabat MARA di sini. Turut hadir, Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Muhammad.

Katanya, MARA bersedia untuk melakukan transformasi dan penghijrahan baru bermula dari sekarang menerusi pelbagai program yang diatur bagi mencapai matlamat ditetapkan sebaik saja badan berkenaan mencecah usia 50 tahun.

"MARA banyak memainkan peranan mengangkat martabat masyarakat Melayu dan Bumiputera sehingga berjaya melahirkan usahawan serta tokoh korporat. Malah ada antaranya berada di dalam senarai antara 40 terkaya di dunia.

MARA juga melahirkan ahli akademik, pemuzik, tukang masak terkenal dan angkasawan negara.

"Bagaimanapun, pencapaian ini belum cukup membanggakan kerana masih ramai Bumiputera miskin dengan kadar 88 peratus dan bilangan golongan profesional masih rendah. Misalnya daripada 20 peratus akauntan Bumiputera tetapi hanya 7 peratus akauntan berdaftar.

"Jurutera Bumiputera pula hanya berjumlah 2.8 peratus. Manakala hanya 19 peratus saham ekuiti dipegang golongan Bumiputera sementara Amanah Saham Nasional pula masih di takuk lama. Maktab Rendah Sains MARA kini hanya tidak lebih sebagai sekolah asrama penuh biasa," katanya.

Bagi melahirkan usahawan lebih kompetitif, MARA akan menumpukan usahawan yang menceburkan diri dalam perniagaan berskala lebih besar dan berkeupayaan mengembangkan perniagaan mereka. Justeru, syarat dan proses pinjaman akan diperketatkan bagi memastikan pinjaman disalurkan kepada mereka yang berwibawa untuk menjalankan perniagaan.

No comments:

Post a Comment