Monday, 1 March 2010

MARA tawar RM2j bantu biaya kredit Bumiputera

MAJLIS Amanah Rakyat (Mara) memperkenalkan Skim Jaminan Usahawan Bumiputera Mara (SJUM) yang membolehkan agensi itu menyediakan kemudahan pembiayaan sehingga RM2 juta kepada usahawan Bumiputera berbanding hanya RM500,000 sekarang.

Skim itu dilaksanakannya dengan kerjasama Bank Muamalat Malaysia Bhd yang akan bertindak sebagai penyedia pinjaman. Mara memperuntukkan dana sebanyak RM30 juta sebagai jaminan.

Pengerusi Mara, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, skim itu diperkenalkan khusus bagi usahawan Bumiputera yang berhasrat mendapatkan pembiayaan lebih besar sebagai modal pusingan atau membiayai pembelian aset, hartanah, projek, peralatan, mesin dan perkara lain.
 
“Ketika ini Mara hanya menyediakan pembiayaan setakat RM500,000, sedangkan semakin ramai usahawan Bumiputera yang memerlukan pembiayaan lebih besar.

“Kami juga memiliki dana terhad untuk memenuhi permohonan pembiayaan yang semakin meningkat saban tahun dan dalam keadaan kutipan pembayaran balik pinjaman kurang memberangsangkan, agak sukar bagi kami meluluskan semua permohonan dalam kadar segera.

“Justeru, menerusi skim ini, kami harap ia akan membuka lebih banyak peluang kepada usahawan dan pada masa sama mempelbagaikan kemudahan di bawah Bahagian Pembiayaan Perniagaan Mara,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyaksikan majlis memeterai perjanjian pakatan strategik bagi penyediaan skim itu serta perkhidmatan penasihat Syariah antara agensi itu dan Bank Muamalat di Shah Alam, semalam. Hadir sama Pengerusi Bank Muamalat, Tan Sri Dr Mohd Munir Abdul Majid.

Pada majlis itu Mara diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Muhamad, manakala Bank Muamalat oleh Ketua Eksekutifnya, Datuk Mohd Redza Shah Abdul Wahid.

Idris berkata, di bawah skim itu Bank Muamalat akan menyediakan kemudahan pinjaman berlandaskan Syariah antara RM500,001 hingga RM2 juta pada kadar pembiayaan serendah dua peratus setahun.

“Usahawan berminat boleh datang untuk membuat permohonan di pejabat Mara, kami akan memproses dan menilai permohonan itu, manakala Bank Muamalat akan memproses dan mengeluar pembiayaan bagi permohonan yang telah diluluskan dengan jaminan Mara,” katanya.

Menerusi SJUM itu, Mara akan menjamin 80 peratus daripada pembiayaan yang diberikan, manakala baki 20 peratus lagi ditanggung sendiri oleh usahawan.

“Skim ini adalah penyelesaian kepada usahawan berpotensi yang memerlukan modal untuk mengembangkan perniagaan, tetapi tidak memenuhi syarat institusi perbankan khususnya dari segi cagaran,” kata Idris.

No comments:

Post a Comment