Friday, 12 March 2010

MRSM Kuching catat GPS tertinggi

KUCHING 11 Mac - Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kuching mencatatkan sejarah tersendiri apabila pelajarnya memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan gred purata sekolah (GPS) 2.04 peratus iaitu tertinggi dalam tempoh 16 tahun.

Pada masa sama, seramai 25 pelajar MRSM itu memperoleh sekurang-kurangnya A- dalam semua mata pelajaran yang diambil berbanding hanya 11 orang pada 2008.

Pengetuanya, Shabini Ahmad berkata, seramai 132 pelajar MRSM menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu dan mencatatkan keputusan lulus 100 peratus dalam semua mata pelajaran.

Menurutnya, keputusan SPM yang diumumkan hari ini adalah di luar jangkaan malah melepasi sasaran yang ditetapkan dan tertinggi sejak MRSM itu ditubuhkan pada 1994.

''Kejayaan pelajar hari ini adalah hasil kombinasi, kerjasama serta komitmen tinggi semua pihak di maktab ini yang menekankan kepentingan semua mata pelajaran untuk mencapai prestasi cemerlang.

''Pencapaian GPS turut meningkat malah tertinggi pernah dicapai iaitu 2.04 peratus berbanding tahun sebelumnya, hanya 2.5 peratus," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Pada masa yang sama, Shabini memberitahu, empat pelajar MRSM yang cemerlang awal-awal lagi terpilih untuk mengikuti skim pelajar cemerlang (SPC) sebagai persediaan melanjutkan pengajian ke luar negara.

Katanya, empat pelajar tersebut dipilih berdasarkan pencapaian mereka dalam peperiksaan percubaan sebelum ini, dijangka melanjutkan pengajian dalam bidang perubatan.

Malah, tambahnya, salah seorang daripada empat pelajar tersebut iaitu Esther Michael yang memperoleh A dalam semua mata pelajaran bukan sahaja cemerlang dalam akademik bahkan aktif mengikuti gerak kerja luar berkumpulan.

''Esther dan kumpulannya pernah mewakili maktab ini ke peringkat kebangsaan dalam menghasilkan produk inovasi daripada komposit kelapa sawit dan memenangi pingat perak.

''Sehubungan itu, kita bukan sahaja menekankan bidang akademik bahkan mencorak keperibadian para pelajar dengan memupuk keyakinan diri dalam apa juga bidang yang diceburi," ujarnya.

No comments:

Post a Comment