LEDANG 1 Okt. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan dua syarikat iaitu Radibems Sdn. Bhd. dan National Instruments Southeast Asia Sdn. Bhd., bagi memberi tempat kepada penuntut Kolej Kemahiran Tinggi Mara (KKTM) Ledang menjalani latihan industri di kedua-dua syarikat itu.
MoU itu ditandatangani oleh Pengarah KKTM Ledang, Ahmad Jalaludin Mohd. Wahi dengan Pengurus Besar Radibems, Mohamed Nasir Talib dan Pengarah Urusan National Instruments Southeast Asia (National Instruments), Chandran Nair di KKTM Ledang, baru-baru ini.
Yang turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ir. Hamim Samuri yang juga Ahli Parlimen Ledang dan Pengarah Mara negeri, Abdul Aziz Hassan.
Radibems merupakan anak syarikat Radicare (M) Sdn. Bhd., dan pakar dalam perkhidmatan pengurusan kejuruteraan bioperubatan, menyediakan penyelesaian penting dan kos berkesan dalam operasi serta penyelenggaraan peralatan hospital berteknologi tinggi.
National Instruments pula adalah syarikat teknologi yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS) menghasilkan pelbagai produk bagi sektor semi konduktor, pertahanan dan aeroangkasa selain membangun dan mengeluarkan produk perisian serta perkakasan digunakan jurutera dan saintis untuk aplikasi ujian, kawalan dan rekaan bagi pasaran global.
Ahmad Jalaludin berkata, MoU itu bertujuan membangunkan kurikulum lebih baik untuk para penuntut bioperubatan KKTM selain lanjutan kerjasama yang terjalin sebelum ini.
"MoU ini lebih kepada latihan industri bagi pelajar dan kakitangan dalam menjadikan KKTM sebagai pusat kecemerlangan bioperubatan. Ini sebagai tambahan kerjasama dan MoU ini akan diperbaharui setiap dua tahun," katanya.
Beliau berkata, kerjasama dengan Radibems bermula sejak KKTM Ledang ditubuhkan pada 2010 dan diteruskan hingga kini dengan menawarkan tempat kepada para penuntutnya menjalani latihan industri dan peluang pekerjaan selepas tamat pengajian.
Sementara itu, usahasama dengan National Instruments pula bermula apabila rombongan KKTM Ledang mengadakan lawatan ke ibu pejabatnya di Austin, Texas, Amerika Syarikat beberapa tahun lalu.
Ahmad Jalaludin memberitahu, KKTM Ledang melahirkan kira-kira 200 penuntut dalam bidang terbabit dengan kelulusan diploma setiap tahun.
No comments:
Post a Comment