Thursday, 3 October 2013

Bangunan MARA jadi hotel bajet

JANATUL FIRDAUS YAACOB
3 Oktober 2013

  • Bangunan Mara jadi hotel bajetBangunan MARA ini akan bertukar menjadi hotel bajet tidak lama lagi.
KLANG - Tiada istilah pembaziran. Malah, bangunan lapan tingkat milik Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dinamakan Kompleks Tengku Kelana telah diinovasi menjadi hotel bajet.

Kenyataan itu dibuat oleh MARA Negeri Selangor yang sekali gus menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa pembinaan bangunan yang membabitkan perbelanjaan sebanyak RM8.2 juta itu sebagai satu pembaziran.

Bahkan, bangunan itu akan berseri kembali apabila kerja-kerja pengubahsuaian oleh pihak Syarikat STN Development (M) Sdn Bhd selesai dan beroperasi semula sebagai sebuah hotel.

Menurut pihak MARA Selangor, pembinaan bangunan ini bukan dibuat oleh pejabat MARA negeri secara sesuka hati tetapi sudah dipersetujui oleh pihak pengurusan tertinggi MARA.

Laporan media sebelum ini memaklumkan, pajakan ke atas bangunan itu bermula Disember 2008 dan bangunan itu kini sedang dalam proses ubah suai.

Keseluruhan bangunan itu yang mempunyai 59 lot perniagaan, pejabat serta kawasan tempat letak kereta di bahagian belakang bangunan akan terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian.

“Sebelum ini, kesemua penyewa telah diberitahu dan mereka dinasihatkan untuk menamatkan penyewaan di sini. Mereka yang tidak mempunyai masalah dari segi bayaran sewa dan tindakan undang-undang akan dicadangkan penempatan baru di bangunan MARA yang lain sekiranya ada kekosongan,” katanya.

Tinjauan Sinar Harian baru-baru ini ke bangunan itu mendapati ia telah dipagar dan kerja-kerja pengubahsuaian sedang giat dilaksanakan pihak pemaju mengikut syarat-syarat dalam Seksyen 70 Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 berdasarkan Akta 133 dan Undang-undang kecil Bangunan Seragam 1984.

Kesuraman deretan kedai yang sebelum ini terbiar sepi tanpa penyewa bakal berubah wajah. Sambutan hambar terhadap kompleks berkenaan sebelum ini pasti akan membawa satu perubahan besar.

Seorang peniaga di kawasan berkenaan, Witiu Waris, 35, mengakui bangunan itu bukan terbiar tetapi kurang mendapat sambutan sebelum ini.

“Kesemua pejabat yang beroperasi di situ sebelum ini telah dipindahkan ke bangunan berhampiran stesen kereta api Klang.

“Sebelum arahan pindah dikeluarkan ada penyewa yang menyewa lot perniagaan itu, bukannya langsung terbiar. Cuma sambutan sahaja kurang menggalakkan,” katanya.

Seorang pemandu kereta sewa, Amir Singh, 65, gembira bangunan sepi itu bakal memeriahkan lagi kawasan berkenaan.

“Sepanjang tempoh beberapa tahun sebelum ini bangunan itu kelihatan kosong dan hanya ada beberapa premis perniagaan yang beroperasi.

“Diharapkan dengan perubahan imej sebagai hotel bajet ini akan merancakkan lagi rezeki saya,” katanya.

No comments:

Post a Comment