Thursday 8 December 2011

MARA beri RM14b pinjaman untuk 407,499 pelajar

Seramai 763,235 orang anak Bumiputera telah menerima pendidikan di bawah sistem latihan kemahiran dan akademik yang dikendalikan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA).

Ketua Pengarahnya Datuk Ibrahim bin Ahmad berkata di samping itu MARA juga telah memberikan bantuan pinjaman pelajaran berjumlah RM14 bilion kepada 407,499 pelajar di mana 369,216 untuk tajaan dalam negara, manakala selebihnya seramai 38,283 pelajar mendapat penajaan luar negara.

"MARA juga mempunyai 321 buah institusi pendidikan di seluruh Malaysia dan dan antaranya termasuk 223 buah GIATMARA yang mempunyai 254,003 pelajar, dan Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) yang mempunyai 149,722 pelajar," katanya di Majlis Malam Penghargaan dan Jamuan Tahunan MARA 2011 di ibunegara.

Ibrahim berkata sehingga kini MARA menyediakan kira-kira 7,000 lot perniagaaan yang merangkumi premis perniagaan, Kawasan Industri Makanan MARA yang menjadi hab pengeluaran produk makanan halal, Inkubator Teknologi Makanan dan Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU).

Katanya selain itu seramai 44,649 usahawan Bumiputera telah mendapat pembiayaan melalui Skim Pembiayaan Am bagi sektor perdagangan, perkhidmatan dan pembuatan, Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres, untuk kerja-kerja seperti kontrak pembinaan, bekalan, perkhidmatan dan elektrikal dan Skim Pembiayaan Perniagaan melibatkan peruntukan melebihi RM 2 bilion.

Di majlis itu, seramai 179 pesara serta 195 warga kerja MARA yang telah berkhidmat selama 25 tahun masing-maing menerima hadiah RM1,000 serta plak penghargaan sebagai menghargai perkhidmatan mereka.
- Bernama

No comments:

Post a Comment