JELEBU 9 Dis. – Kerajaan komited membangunkan sebuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) khas untuk anak-anak Orang Asli bagi membolehkan mereka mendapat pendidikan yang lebih baik secara berterusan.
Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek berkata, bagaimanapun perkara itu masih di peringkat kajian dan akan dibincangkan dengan beberapa pihak sebelum dikemukakan kepada Kabinet.
“Kita melihat cadangan ini adalah cara yang baik bagi membolehkan anak-anak Orang Asli didedahkan sistem pembelajaran yang lebih sistematik, selain berinteraksi dengan dunia luar.
“Kajian tersebut akan melibatkan pelbagai pihak termasuk kementerian terlibat, persatuan-persatuan Orang Asli, tokoh-tokoh akademik termasuk tokoh dari kalangan masyarakat Orang Asli itu sendiri untuk mengemukakan cadangan masing-masing,” katanya.
Hassan berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Mesra Didik Pelajar Orang Asli 2011 di Dewan Semarak, MRSM Kuala Klawang dekat sini hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pertanian, Industri Asas Tani, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), Nisra Nisran Asra Ramlan.
Hassan berkata, sebarang keputusan untuk melaksanakannya perlu dilakukan secara berhati-hati untuk memastikan keberkesanannya kerana ia melibatkan perbelanjaan yang besar.
Hassan berbangga dengan pencapaian pendidikan oleh anak-anak Orang Asli dengan 19 orang pelajar memperoleh 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) di seluruh negara pada tahun ini, berbanding 2010 seramai 14 orang.
No comments:
Post a Comment