Monday, 5 December 2011

MARA anjur Karnival Kembali Ke Sekolah mulai Isnin ini

KUALA LUMPUR 2 Dis. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan menganjurkan Karnival Kembali Ke Sekolah di Medan MARA, Jalan Raja Laut di sini pada 5 hingga 18 Disember ini.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Mohd. Rosdi Ismail berkata, objektif utama penganjuran karnival itu adalah untuk memperkenalkan usahawan bumiputera yang terlibat dalam industri pendidikan dan peralatan sekolah.

"Seramai 64 usahawan bumiputera dari seluruh negara akan menyertai karnival ini. Mereka akan menjual dan mempromosikan barangan mereka," katanya di Ibu pejabat MARA di sini, hari ini.

Beliau berkata, pelbagai acara menarik juga sudah diatur bagi menarik minat pengunjung untuk ke karnival itu, antaranya pertandingan mewarna, cabaran susun atur, cabutan bertuah, mencari harta karun, kuiz serta motivasi kecemerlangan pelajar.

Sempena karnival tersebut, syarikat bumiputera, Apple Bytes Sdn. Bhd. juga mengambil peluang untuk memperkenalkan ais krim jenama Supertots sebagai produk terbaru keluaran syarikat mereka.

Pengarah Urusannya, Irwan Ibrahim berkata, produk itu bersama beberapa barangan Supertots lain direka khusus sempena filem animasi kanak-kanak yang dihasil kerjanya dilaksanakan oleh bumiputera sepenuhnya.

Katanya, usahawan yang berminat untuk menjadi penjual barangan Supertots, boleh mengunjungi gerai mereka di karnival itu bagi mendapatkan maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment