Wednesday 14 December 2011

Karnival keusahawanan MARA bantu bumiputera

RANAU 12 Dis. - Penganjuran karnival keusahawanan di kawasan pedalaman membuktikan bahawa kerajaan amat komited membantu usahawan bumiputera untuk berdaya maju dan memperoleh maklumat terkini dalam bidang perniagaan.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Masidi Manjun berkata, karnival anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA) itu mampu membuka mata dan minda para usahawan tempatan untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat lebih tinggi.

Katanya, bukan sahaja orang ramai mendapat pendedahan dan maklumat terkini, tetapi ia juga membuka peluang kepada kerajaan untuk lebih dekat dengan masyarakat luar bandar yang dahagakan peluang-peluang memajukan diri.

"Karnival seumpama ini sememangnya sangat bermanfaat kepada orang ramai dan usahawan tempatan untuk mengembangkan lagi jaringan perniagaan serta memasarkan produk yang dimiliki ke pasaran lebih luas, selain mengeratkan lagi hubungan agensi kerajaan dengan orang ramai," katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Karnival Usahawan MARA Peringkat Daerah Ranau 2011, di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Mohd. Rosdi Ismail dan Menteri Pembangunan Luar Bandar negeri, Datuk Dr. Ewon Ebin.

Mengulas lanjut, Masidi berkata, cabaran dalam arus perniagaan yang semakin hebat kini mendesak usahawan tempatan untuk mendapatkan bimbingan dan khidmat pakar bagi membolehkan mereka terus kekal bersaing.

Menurutnya, karnival yang dianjurkan MARA itu mampu memberi bimbingan dan khidmat nasihat secara terus kepada kumpulan sasar yang berada di luar bandar, selain menyebar maklumat berhubung bantuan yang disediakan kerajaan kepada usahawan kecil.

Sementara itu, beliau berharap, MARA dapat membina bangunan sendiri iaitu Arked MARA di sini bagi menampung premis peniaga kecil yang menjual sayur-sayuran dan terletak di sepanjang jalan di Kundasang.

"Selain membina sebuah bangunan Arked MARA yang boleh menempatkan peniaga bumiputera di satu kawasan yang lebih teratur, saya juga berharap pihak MARA dapat membina gerai untuk peniaga sayur yang banyak bertaburan di Kundasang," katanya.

No comments:

Post a Comment