Wednesday, 7 December 2011

MARA-NADI meterai perjanjian

LANGKAWI 6 Dis . – Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama strategik di antara Majlis Amanah Rakyat (MARA) dengan National Aerospace and Defence Industries (NADI) sempena Pameran Udara dan Maritim Antarabangsa Langkawi (LIMA) 2001 yang bermula di sini hari ini.

Menerusi kerjasama tersebut, MARA dan NADI akan bekerjasama untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir bumiputera dalam bidang penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) serta pembuatan dalam industri aeroangkasa dan pertahanan.

MARA diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Ibrahim Ahmad manakala NADI oleh Pengerusi Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Ahmad Johan.

Ibrahim berkata, usaha sama berkenaan bertujuan melahirkan modal insan yang mampu menjana kekayaan selain meningkatkan bilangan tenaga kerja mahir yang kompeten selari dengan falsafah Program Transformasi Kerajaan.

“Modal insan profesional yang dilahirkan ini adalah berasaskan keperluan industri yang mampu mewujudkan landasan kerjaya yang berpotensi dan berpendapatan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan.

Perjanjian itu juga membolehkan kedua-dua pihak meneroka peluang perniagaan dalam MRO dan pembuatan seterusnya membangunkan model perniagaan yang berdaya maju dan menguntungkan.

Ia turut menjayakan matlamat untuk memudahkan penyertaan bumiputera yang lebih kukuh dalam industri tersebut yang menyaksikan pasaran MRO dianggarkan bernilai RM208 bilion menjelang 2020.

Terdahulu, Perdana Menteri dan Ahmad turut menyaksikan perjanjian perkhidmatan rundingan teknikal (TCSA) antara Airod Sdn. Bhd. (Airod) dengan Malaysian Aerospace Engineering Sdn. Bhd. (MAE).

Menerusi perjanjian berkenaan, MAE akan menyediakan perkhidmatan perundingan kepada Airod bagi pembangunan kelompok MRO aeroangkasa di lapangan terbang baru Kunming, China.

No comments:

Post a Comment