Kerajaan kaji elak pertindihan fungsi program pembangunan usahawan
KERAJAAN akan menjalankan kajian bagi meletakkan semua dana pembiayaan serta program pembangunan keusahawanan Bumiputera yang kini ditawarkan menerusi pelbagai kementerian, di bawah satu agensi tunggal.
Ia bagi memastikan objektif pelaksanaan program atau penyediaan dana pinjaman itu lebih jelas, selain mengelak berlakunya pertindihan fungsi.
Sumber berkata, kajian yang akan dilaksanakan mulai tahun depan itu akan turut melihat kemungkinan beberapa dana pembiayaan dan program pembangunan usahawan yang memiliki ciri, fungsi serta matlamat sama digabung dan diberikan nama baru.
Katanya, jika hasil daripada kajian itu mendapat reaksi positif dan dipersetujui kementerian dan agensi terbabit, jumlah peruntukan serta sektor liputan perniagaan yang akan dibiayai akan turut diperluaskan.
“Bagi mempercepatkan kajian pelarasan itu, Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU) dan badan berkepentingan lain sedang mengadakan perbincangan dengan semua kementerian serta agensi yang terbabit untuk mencari formula terbaik bagi menyelesaikan masalah pertindihan fungsi pinjaman serta program pembangunan usahawan Bumiputera di bawah kelolaan mereka.
“Tujuannya adalah bagi memastikan objektifnya lebih jelas selain mengelak berlakunya ketirisan atau penyalahgunaan pinjaman,” katanya kepada Berita Harian di Kuala Lumpur.
Sumber berkenaan berkata, langkah menyelaraskan semula semua dana serta program memajukan usahawan Bumiputera itu juga bertujuan mewujudkan mekanisme lebih telus untuk memastikan hanya instrumen pembiayaan sesuai ditawarkan dan hanya usahawan yang layak menerimanya.
Ketika ini pelbagai program pembangunan dan skim bantuan kewangan dilaksanakan kerajaan bagi membantu usahawan Bumiputera.
Antara kementerian yang terbabit ialah Kementerian Kewangan, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani.
Agensi yang diamanahkan bagi menguruskan dana itu pula termasuk Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN), Majlis Amanah Rakyat (MARA), Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Tabung Ekonomi Belia.
Sumber itu berkata, jika pelarasan berkenaan dilaksanakan, semua dana pembiayaan dan program akan diurus dan diletakkan hanya di bawah sebuah kementerian atau agensi yang dikhususkan dalam pembangunan usahawan Bumiputera.
“Menerusi langkah itu, ia akan memastikan kementerian atau agensi yang diamanahkan itu dapat menguruskan dana pinjaman dan program secara lebih cekap dan berkesan, sekali gus dapat memastikan agenda pembangunan dan penyertaan usahawan Bumiputera dalam ekonomi negara diperkukuhkan lagi,” katanya.
INFO: MARA
•Skim Pembiayaan Peningkatan Perniagaan
•Skim Pembiayaan Komersial
•Skim Pembiayaan Kontrak Ekspres
•Skim Jaminan Usahawan MARA.
TEKUN
•Peruncitan & Perniagaan, Perkhidmatan, Pertanian, Penternakan dan Akuakultur, Pembuatan, Pendidikan, Pengangkutan, Pelancongan dan rekreasi, Pemborongan, Pembinaan kecil.
PUNB
•Membantu usahawan Bumiputera dalam bidang peruncitan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Tabung Ekonomi Belia
•Memiliki dua jenis skim iaitu Skim Belia Negara (SBN) dan Skim Belia Tani (SBT).
No comments:
Post a Comment