Tuesday 14 June 2011

NBHSB bukan sekadar spa

Norsiah hasrat tubuh Universiti Terapi Kecantikan

PERMINTAAN yang semakin meningkat untuk terapi kecantikan dan spa menyaksikan pusat berkaitan wujud bak cendawan tumbuh selepas hujan. Datin Norsiah Mahadi, 51, tidak terkecuali merebut peluang perniagaan itu dengan menubuhkan Norz Beauty House Sdn Bhd (NBHSB), di ibu kota. Namun, bezanya NBHSB, ia bukan sekadar memberi perkhidmatan buat pelanggan malah memberi latihan kepada mereka yang berminat membuka perniagaan serupa dari seluruh negara.

“Saya mahu pusat ini berkembang sehingga mencapai tahap universiti. Saya berharap berpeluang menubuhkan Universiti Terapi Kecantikan di negara ini suatu masa nanti,” kata ibu kepada empat anak, berusia dari 16 tahun hingga 27 tahun.

Wanita yang gemar berenang, berenang dan bermain bowling itu, mendapat pelbagai latihan kemahiran daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia selain daripada Mustika Ratu dan beberapa akademi kecantikan.

Beliau pernah memenangi Pertandingan Stokis Terbaik Kebangsaan Nouvellis, Premis Terbaik Wilayah Persekutuan di bawah MARA, Premis Ketiga Peringkat Kebangsaan dan Perniagaan Perkhidmatan Terbaik MARA. Beliau turut menerima penghargaan apabila dilantik sebagai hakim pelbagai pertandingan berkaitan kemahiran.

Namun, dalam banyak perniagaan yang dilakukan, bidang kecantikan dan spa disifatkan sebagai perniagaannya yang paling berjaya.

“Banyak perkara baru yang saya pelajari melalui perniagaan ini dan apa yang lebih penting, saya gembira kepada dapat berkongsi ilmu dan membantu mereka yang berminat membuka perniagaan seperti ini.

“Saya gembira dengan kemajuan perniagaan ini tetapi masih belum puas dengan kejayaan yang dikecapi. Saya mahu pusat kecantikan ini mencapai tahap lebih tinggi,” katanya.

Dibantu tujuh pekerja, yang juga nadi penggerak perniagaannya, Norsiah setiap hari menguruskan sendiri pusat kecantikannya, disokong suami, Datuk Mohd Zaihan Mohd Zain, 52, yang juga penasihat korporat NBHSB.

Pesan Norsiah buat mereka yang mahu menceburi perniagaan itu ialah supaya menjalani latihan kemahiran hingga ke peringkat tertinggi bagi meraih keyakinan pelanggan sekali gus memastikan perniagaan dapat bertahan lama.

Beliau mengakui, perniagaannya semakin memberangsangkan apabila beliau menerima pelbagai sijil kemahiran dalam bidang berkairan.

“Jualan meningkat setiap bulan kerana pelanggan semakin ramai dan mempercayai keupayaan syarikat dalam menjalankan perniagaan serta mengikut perkembangan arus semasa,” katanya.

Lulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) itu memiliki latihan kemahiran hingga ke peringkat diploma lanjutan antara lain dalam bidang jurukecantikan, juruestetik, juruterapi estetik dan pengurus estetik.

Selain itu, Norsiah juga mendapat pengiktirafan sebagai Penyedia Latihan/Mentor bagi menyediakan latihan kecantikan atau kesihatan/spa membabitkan beberapa agensi kerajaan seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN) dan Ibu Pejabat Penjara Malaysia, Kajang.

Mengulas lanjut perkhidmatan ditawarkan pusat kecantikannya, beliau berkata, NBHSB menyediakan rawatan penjagaan kulit muka, penjagaan badan, penjagaan selepas bersalin (dalam pantang), minuman kesihatan Anana Health Drink, pelangsingan, produk khusus penjagaan wanita, kuah rojak dan butik pakaian, dengan 10 stokis di seluruh negara setakat ini.

LOKASI:
Norz Beauty House Sdn Bhd
No. 13
Mezzanine Floor
Jalan Medan Tuanku
Kuala Lumpur.

No comments:

Post a Comment