Thursday 16 June 2011

Godam: 'Antara biasiswa dan peluang'

Bersama Salbiah Ani

2011/06/16

TIGA perkara yang dilaporkan akhbar sepanjang beberapa minggu kebelakangan ini menarik perhatian penulis iaitu isu biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan kenyataan mahasiswa universiti tempatan hampas oleh seorang naib canselor.

Ramai yang mempersoalkan pemberian biasiswa untuk Program Ijazah Luar Negara (PILN) bagi lulusan lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang cemerlang dalam peperiksaan pada 2010, meskipun sedar peruntukan sangat terbatas. Sesiapa yang mengikuti isu ini dengan teliti pasti juga akan perasan betapa pemimpin bukan Melayu bermati-matian memperjuangkan nasib anak bangsa mereka, tetapi tiada seorang pun pemimpin Melayu bersikap sedemikian, meskipun sedar perkara terbabit membabitkan sama pelajar Melayu. Malang bagi pelajar Melayu yang cemerlang tetapi tercicir daripada menerima biasiswa PILN dan lebih malang lagi pelajar Melayu yang cemerlang, tetapi peluang ‘terlepas’ mendapat kursus pilihan dek kerana ‘tewas’ bersaing di kalangan pelajar lebih bijak meskipun hakikatnya mereka layak.

Hujah yang sering diberikan sebahagian besar yang memberi pandangan berhubung pemberian biasiswa dan juga kursus pilihan ialah kepentingan pelajar luar bandar perlu diutamakan memandangkan mereka belajar dalam keadaan serba daif.

Mereka yang menggunakan hujah ini seolah-olah lupa bahawa tidak semua pelajar di bandar bernasib baik mendapat sekolah dengan segala macam kemudahan serba canggih dan tidak bermakna juga mereka tidak perlu bersaing hebat sesama rakan sekolah.

Mereka juga lupa bahawa pelajar di bandar juga berdepan dengan diskriminasi guru sekolah yang lebih mengutamakan pelajar yang berada dalam kelas pertama dan kedua, meskipun sedar ada pelajar di luar kelompok terbabit sama hebat, ada kalanya diketepikan ‘haknya’ kerana faktor gender.

Ramai juga yang memberi alasan ibu bapa di bandar mampu menanggung pengajian anak masing-masing, seolah-olah lupa bahawa kelompok menengah rendah di bandar gah bunyi pendapatan mereka, tetapi hakikatnya tersepit dengan kos sara hidup yang terlalu tinggi!

Mereka juga lupa sebahagian besar pelajar di bandar dalam kelompok menengah rendah sering ‘berkorban’ dan’ dikorbankan’ dalam mendapat tempat di sekolah berasrama penuh (SBP) atau Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) atas alasan pelajar luar bandar perlu lebih diutamakan.

Penulis cukup bersimpati kepada pelajar dalam kelompok menengah rendah yang cemerlang, tetapi tewas dalam persaingan mendapat kursus pilihan mereka di universiti awam dan tanpa pembelaan kerana hakikatnya mereka sudah berjuang bermati-matian untuk cemerlang.

Tiada siapa boleh menafikan pelajar pada era teknologi maklumat serba canggih hari ini jauh lebih tertekan daripada pelajar zaman dulu, memandangkan mereka dibebankan dengan silibus yang terlalu berat dan silih berganti, seolah-olah bahan uji kaji yang menunggu masa ‘ditembak’ mati!

Pada era kegilaan universiti awam kepada penarafan bagi memastikan ia turut tersenarai dalam universiti terbaik di dunia, penulis berharap sangat kerajaan menimbangkan kemungkinan menyediakan lebih banyak tempat untuk kursus kritikal kepada pelajar tempatan di universiti awam.

Lambakan universiti swasta dengan kursus kritikal tidak membawa makna kepada ibu bapa di bandar dalam kelompok menengah rendah kerana hakikatnya tanpa bantuan biasiswa, mereka tidak dapat membantu anak masing-masing menggapai cita-cita untuk berjaya dalam bidang pilihan.

Perlu diingat bahawa pelajar era teknologi maklumat serba canggih pada masa ini semakin bijak berfikir dan sedar dengan perubahan persekitaran mereka, lalu dengan mudah mempersoalkan mengapa mesti ‘kursus lelong’ ditawarkan kepada pelajar cemerlang.

Pelajar dalam kelompok ini jauh lebih ramai daripada yang sekadar mendengar arahan ibu bapa berhubung kursus yang patut dipilih kerana perubahan zaman menyebabkan mereka melalui revolusi pemikiran dan menolak dakwaan lambakan mahasiswa di universiti awam hampas!

Tiada ruginya untuk kerajaan mengambil langkah ini memandangkan penawaran tempat untuk kursus kritikal yang lebih banyak di universiti awam untuk pelajar tempatan juga akan mampu ‘menjual’ negara sebagai pusat kecemerlangan akademik.

Jika kerajaan beranggapan bahawa pendekatan terbabit akan mengakibatkan lambakan lulusan bidang kritikal di negara ini, tentunya perkara terbabit sebenarnya bukan suatu masalah kerana graduan berwibawa boleh menggunakan kesempatan terbabit untuk berkhidmat di luar negara, manakala kerajaan boleh mengenakan syarat menang-menang!

No comments:

Post a Comment