Oleh SHAHNI FARHANA MAT SAHIR
ALOR SETAR 26 Jun - Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kedah
yang dibangunkan dengan kos sebanyak RM40 juta dijangka beroperasi di Kompleks
Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) Jalan Kolam Air mulai 22 Julai ini.
Datuk Bandar, Datuk Mat Noh Ahmad berkata, UTC Kedah yang
berkeluasan 77,688 meter persegi di bangunan enam tingkat itu merupakan UTC
kelima di negara ini selepas dibuka di Kuala Lumpur, Melaka, Pahang dan Perak.
Menurut beliau, UTC Kedah menyediakan perkhidmatan di bawah
10 kluster termasuk keselamatan, kesihatan, perkhidmatan, kewangan, pembangunan
belia, utiliti dan pendidikan.
"Bangunan itu nanti turut menyediakan bilik mesyuarat
berkapasiti 150 orang dan dua bilik seminar serta gelanggang futsal di tingkat
atas," katanya kepada pemberita dalam sidang akhbar di sini semalam.
Mat Noh berkata, sehingga kini sebanyak 22 jabatan kerajaan
dan swasta telah membuat pengesahan untuk beroperasi dan akan ditempatkan mulai
15 Julai ini.
Menurutnya, antara jabatan terlibat adalah Klinik 1Malaysia,
Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Amanah
Ikhtiar Malaysia (AIM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA).
"Apabila siap kelak, UTC Kedah akan memudahkan orang
ramai berurusan di bawah satu bumbung, tidak perlu ke sana sini," katanya.
Tambahnya, kemudahan lot tempat kereta juga disediakan di
bangunan tersebut sebanyak 400 lot.
Terdahulu sebanyak 21 Ahli Majlis MBAS dilantik bagi penggal
2013 hingga 2014.
Mat Noh berkata, pelantikan itu terdiri daripada kalangan
profesional, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), penjaja, belia dan ahli
korporat.
"Selepas ini kita akan buat lantikan jawatankuasa kecil
mengikut keupayaan masing-masing dan cuba seimbangkannya," katanya.
Sumber: Utusan
No comments:
Post a Comment