KUANTAN 11 Jun - Majlis Amanah Rakyat (MARA) tidak boleh sekadar menyediakan premis untuk disewa, sebaliknya harus bertindak menjual lot perniagaan kepada usahawan yang mampu dalam usaha meningkatkan pemilikan ekuiti bumiputera di kawasan bandar.
Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Shahiruddin Ab. Moin berkata, untuk itu, sudah masanya MARA membina lebih banyak bangunan komersial dan kemudiannya menjual kepada para peniaga bumiputera agar wujud keseimbangan pemilikan premis perniagaan.
"Dasar MARA sebelum ini yang hanya menyediakan premis untuk disewa perlu dikaji semula dan dibuat penambahbaikan sejajar dengan keperluan semasa seperti menjual terus kepada penyewa berkenaan.
"Pada masa sama, MARA perlu memikirkan untuk membangunkan lebih banyak premis komersial agar wujud persaingan secara sihat supaya satu-satu perniagaan itu tidak dimonopoli oleh satu kaum sahaja," katanya.
Shahiruddin berkata demikian kepada pemberita selepas mendengar taklimat program pembangunan usahawan Mara sempena lawatan kerja beliau ke agensi itu di sini hari ini. Yang hadir sama, Pengarah MARA Negeri, Salemi Yusof.
Menurut Shahiruddin, pengurusan tertinggi MARA juga perlu melakukan pemantauan dengan lebih kerap untuk melihat sendiri prestasi golongan sasaran di bawah mereka.
"Sekiranya lebih kerap pemantauan dilakukan setiap kelemahan pasti dapat diatasi serta diselesaikan segera.
"Saya juga akan berusaha untuk mengadakan pertemuan sebulan sekali dengan semua agensi kerajaan yang terlibat dengan pembangunan usahawan agar pelaksanaan gerak kerja lebih berfokus," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati usahawan bumiputera agar tidak gentar untuk bersaing dengan kaum lain sebaliknya bijak mencari peluang dan belajar daripada kejayaan mereka.
"Seharusnya kita belajar daripada budaya berniaga kaum lain terutama Cina dan kalau bersesuaian kita akan panggil mereka yang berjaya untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman agar sama-sama dapat bersaing secara sihat.
"Apa yang penting, usahawan bumiputera jangan lakukan amalan 'ali-baba' yang hanya menggagalkan apa yang kerajaan usahakan," jelasnya.
sumber Utusan
No comments:
Post a Comment