Friday 28 June 2013

MARA peruntuk RM75 juta majukan keusahawanan

by Reno Benjamin. Posted on June 28, 2013, Friday
GRADUASI: Mong (dua kiri) menyampaikan hadiah dan sijil kepada seorang pelatih terbaik sambil diperhatikan oleh Irwan (dua kanan) dan Jemie.

SIBU: Majlis Amanah Rakyat (MARA) telah memperuntukkan sebanyak RM75 juta pada tahun ini untuk memajukan sektor keusahawanan dalam usaha mencapai wawasan menjadi sebuah negara maju menjelang tahun 2020.

Menteri Muda Pertanian (Penyelidikan dan Pemasaran) Datuk Mong Dagang berkata, objektif pembangunan usahawan MARA adalah untuk membangunkan usahawan global yang berdaya maju, berdaya tahan dan berdaya saing.

“Pihak MARA juga telah memperkenalkan Program Latihan Keusahawanan dengan aktiviti utamanya adalah memberi latihan keusahawanan untuk Bumiputera agar menjadi usahawan yang berdaya maju dan berdaya saing tinggi,” ujarnya ketika berucap pada Majlis Graduasi GIATMARA Zon Tengah II, semalam.

Seramai 82 pelatih daripada GIATMARA Selangau, Sibu, Lanang, Kanowit dan Julau yang mengikuti Kursus Fesyen dan Pembuatan Pakaian, Teknologi Kimpalan dan Fabrikasi Logam serta Kursus Teknologi Motosikal telah menerima sijil masing-masing.

Turut hadir Pengurus GIATMARA Zon Tengah II Irwan Abdullah, Pegawai MARA Daerah Sibu Jemie Menchol, Pengurus GIATMARA Zon Tengah I Abadi Hussein, Pengurus GIATMARA Sibu Mohd Nurr Affifee Affandi, PenGurus GIATMARA Lanang Nordin Shapiei serta Pengurus GIATMARA Kanowit Syafiee Mohd Kadir.

Di samping itu katanya, MARA juga ada menyediakan khidmat nasihat perniagaan bagi membantu menyelesaikan masalah atau meningkatkan prestasi dan produktiviti usahawan/syarikat yang dikendalikan oleh panel pemudahcara MARA.

“Ia bertindak sebagai satu pusat setempat yang mempunyai pelbagai kemahiran dalam bidang khidmat nasihat untuk ditawarkan kepada usahawan Bumiputera.

“Aktiviti di bawah khidmat nasihat ini termasuk dianogstik perniagaan, pengurusan dan pembangunan, ICT/perakaunan berkomputer, pembangunan konsep, pemasaran, business coaching, mesin dan pengeluaran, pembangunan halal dan pensijilan,” katanya.

Menyentuh mengenai GIATMARA, Mong berkata penubuhannya adalah untuk membantu golongan sasaran di mana syarat kemasukan yang paling utama hanyalah minat terhadap kursus yang bakal diikuti.

Selain itu ujarnya, pelatih turut diberikan elaun sara hidup bagi menampung keperluan semasa menjalani kursus.

“Adalah tidak dapat dinafikan tanpa bantuan-bantuan daripada kerajaan melalui agensi-agensi di bawah kelolaannya, hasrat untuk menjadi negara maju hanya tinggal kenangan.

“Oleh itu, kerajaan telah berusaha bersungguh-sungguh untuk menepati segala janji dan mengutamakan rakyat dalam semua aspek,” jelas Mong.

Beliau juga memberitahu, MARA dan GIATMARA umpama seorang ayah dan ibu yang akan memastikan segala permintaan anak-anaknya dipenuhi.

“Gunakanlah peluang yang telah dicipta oleh kerajaan pada hari ini untuk membantu meningkatkan mutu kehidupan.

“Dalam sedar, kita sebenarnya kesuntukan masa bagi merealisasikan matlamat negara maju menjelang tahun 2020.

“Usahlah lagi ditanya apa yang kerajaan telah berikan kepada anda tetapi tanyalah apa yang telah anda sumbangkan kepada negara,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment