Tarikh: October 16, 2012
GEORGETOWN - Mamu Kopitiam satu lagi trend kopitiam baharu yang tercetus daripada fenomena 'budaya kopi', bagaimanapun Mamu Kopitiam merupakan restoran berkonsepkan santai yang cuba mengetengahkan menu masakan Melayu dan Jawi Peranakan.
Pemiliknya Mohd Anuar Daud berkata perniagaan yang bermula sejak dua tahun lepas itu pada asalnya hanyalah sebuah warung biasa yang didirikan berhampiran pusat beli-belah di Times Square.
"Mamu maksudnya 'pakcik' ia berasal dari Jawi Peranakan dan idea untuk membuka Mamu Kopitiam ini bermula apabila lihat ramai yang suka makan atau minum dalam keadaan santai dan relax, walaupun begitu restoran ini tidak menyajikan menu nasi kandar seperti kebanyakan restoran mamak yang lain.
"Restoran kami cuba untuk ketengahkan masakan tempatan dan tradisi Melayu, dari semasa ke semasa kami akan buat penambahan menu, sekarang ini masih lagi di peringkat menambah baik susunan menu dan perkhidmatan," katanya kepada pemberita selepas majlis pembukaan Mamu Kopitiam dan penyampaian cek usahawan kecil dinamik di sini hari ini.
Majlis itu disempurnakan oleh Pengarah MARA Negeri Yahya Sani yang mewakili Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Majlis Amanah Rakyat (MARA). Seramai 67 usahawan menerima cek pembiayaan Usahawan Kecil Dinamik MARA.
Mohd Anuar berkata selain mengetengahkan menu masakan Melayu dan Jawi Peranakan dengan konsep kopitiam, Mamu Mopitiam juga cuba memperkenalkan sejarah Jawi Peranakan kepada pengunjung restoran.
"Sekurang-kurangnya pengunjung akan tahu serba sedikit bagaimana wujudnya Jawi Peranakan di Pulau Pinang, pembentukan masyarakat ini berpunca daripada adanya perkahwinan campur antara lelaki Arab, Punjabi dan Gujerat dengan wanita Melayu tempatan," katanya yang memperuntukkan kos pengubahsuaian RM200,000 untuk restorannya yang terletak di Bangunan MARA di Pengkalan Weld.
Restoran yang beroperasi pada 7 pagi hingga 10 malam itu turut menyajikan masakan nasi campur bermula 11 pagi hingga 2 petang sebagai memenuhi keperluan kakitangan dari pejabat berhampiran.
Beliau yang mempunyai perancangan untuk meluaskan perniagaannya menerusi konsep francais yakin dapat bersaing dengan restoran kopitiam lain berdasarkan menu yang diketengahkan khususnya menu utama Mamu Kopitiam iaitu Roti Panini dan harga yang berpatutan.
Sementara itu, Yahya dalam ucapannya berkata MARA terus komited mengatur strategi untuk memastikan bumiputera dapat terlibat secara aktif dalam bidang perniagaan melalui program keusahawanan dan pendidikan.
Beliau berkata MARA mempunyai peranan yang cukup signifikan dalam menyumbang terhadap pencapaian pemilikan ekuiti bumiputera yang ketika ini telah mencapai 23 peratus.- Bernama
No comments:
Post a Comment