Monday, 29 October 2012

10 ekor lembu tumbang

Oleh: Wartawan Sinar Harian 

10 ekor lembu tumbang
BESUT – Sebanyak 10 ekor lembu dikorbankan sempena Majlis Korban Perdana Sinar Harian Bersama Masyarakat Dewan Undangan Negeri (Dun) Jertih di sini, semalam.

Majlis tersebut adalah anjuran bersama Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (Dun) Jertih bertempat di tapak masjid baru Kampung Lapan Kotak.

Kerja menyembelih dan melapah lembu dilakukan oleh masyarakat dari 10 peti undi di kawasan Dun Jertih bermula seawal 8 pagi.

Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan Karangkraf Sdn Bhd, Mohd Nasir Hamzah berkata, penganjuran program tanggungjawab sosial korporat itu adalah bukti syarikat tersebut tidak mementingkan keuntungan semata-mata sebaliknya turut mementingkan tanggungjawab kepada masyarakat.

Menurutnya, sumbangan lembu untuk ibadah korban tersebut salah satu tanggungjawab sosial selain memperuntukkan kira-kira RM4 juta setahun bagi biasiswa kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian di universiti swasta terpilih.

“Karangkraf turut membantu golongan tidak bernasib baik seperti ibu tunggal, orang miskin, anak yatim dan sebagainya secara 'one off' melalui Yayasan Nur Karangkraf,” katanya dalam program yang dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh.

Daging korban tersebut diagihkan kepada orang-orang miskin dari seluruh Dun Jertih selain sumbangan wang raya daripada Idris.

Hadir sama Pengerusi Pusat Daerah Mengundi Mukim Kubang Bemban, Anuar Mahmud dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Lapan Kotak, Mat Din Mohamad.

Pada majlis sama Idris yang juga Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menyampaikan sumbangan sebanyak 100 buah basikal dan 250 beg kepada pelajar miskin.

Seramai  2,000 tetamu yang hadir dijamu dengan pelbagai juadah termasuk nasi berlauk, daging singgang dan goreng.

Idris menghargai CSR yang dilaksanakan oleh rakan media di negara ini kerana menganjurkan program korban yang membolehkan orang ramai khususnya golongan miskin turut menikmati faedah.


Bina masjid hasil sumbangan orang ramai

Sementara itu menurut Idris, program tersebut sangat bersejarah kerana diadakan di atas tapak masjid baru Kampung Lapan Kotak yang juga masjid rakyat yang bakal dibina hasil sumbangan dan sedekah orang ramai.

Rekabentuk masjid berasaskan senibina Rusia yang dicetuskan Idris sendiri itu menggunakan peruntukan daripada penderma dan sumbangan orang ramai di atas tanah seluas kira-kira dua ekar itu.

Keistimewaan rekabentuk masjid itu adalah mempunyai lapan menara kubah selaras dengan nama kampung tersebut Lapan Kotak dan mampu memuatkan seramai 500 jemaah pada satu-satu masa.

Menurutnya, tiga perempat daripada keluasan tanah untuk tapak masjid itu telah dibayar oleh seorang penderma bernilai RM30,000 manakala selebihnya tanah yang diwakafkan sementara kos menambung tanah di tapak itu disumbangkan oleh seseorang dengan kos RM80,000.

Idris berkata, kos sebenar pembinaan masjid ini akan diketahui selepas pelan rekabentuk akhir diketahui.

Sementara itu orang ramai yang ingin menderma untuk pembinaan masjid itu boleh disalurkan ke akuan CIMB Bank nombor akuan 13030054607528 atas nama Masjid Lapan Kotak.

No comments:

Post a Comment