Friday, 12 October 2012

PMB rancang tembusi pasaran Indonesia tahun hadapan


KUALA LUMPUR - Pelaburan Mara Bhd (PMB), agensi pelaburan Majlis Amanah Rakyat (MARA) merancang untuk meneroka pasaran Indonesia pada tahun hadapan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Nik Mohamed Zaki Nik Yusoff.

"Kami masih pada peringkat perancangan awal dan kini sedang meninjau untuk melabur terutamanya dalam ekuiti yang patuh Syariah di Bursa Saham Jakarta," katanya.

Untuk pelaburannya yang pertama, Nik Mohamed Zaki berkata pelaburan yang akan dibuat adalah untuk syarikat induknya dan ini dibuat bagi mencari pengalaman terlebih dahulu mengenai keadaan pasaran di sana.

"Apabila kita sudah ada pengalaman dalam tempoh setahun hingga dua tahun akan datang, kita akan mengkaji semula pasaran dan mungkin akan dapat melancarkan produk-produk saham amanah yang bersesuaian secara serantau," katanya kepada media bersempena pelancaran ASM Syariah Cash Management Fund (ASM SCMF) di sini hari ini.

Beliau berkata, selain ke Indonesia, pihaknya turut melihat potensi yang sama di negara Timur Tengah, namun semua itu akan dibuat secara berkala.

Ditanya bila pelaburan itu akan dibuat, beliau berkata :"Pelaburan yang bakal dibuat dalam Bursa Saham Jakarta mungkin dibuat dalam masa tiga bulan lagi, namun ini semua masih dalam peringkat perbincangan awal."

Dari segi pelaburan, beliau menjelaskan PMB akan melabur lebih kurang 10 peratus iaitu sekitar RM22 juta dari dana pemegang sahamnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif ASM Investment Services Bhd Ameer Ali Mohamed berkata pelancaran dana terbaharunya yang merupakan pertukaran dari ASM Syariah Money Market Fund adalah ekoran usaha ASM Investment untuk mengukuhkan dan mempergiatkan lagi dana tersebut selain mahu memberikan yang terbaik kepada pelaburnya.

Antara ciri ASM CMF ialah, yuran tahunan diturunkan kepada 0.4 peratus setahun berbanding 0.5 peratus sebelum ini serta cas jualan dan jualan juga tidak dikenakan dan ini membolehkan pelabur membeli dan menjual unit-unit pada nilai aset bersih seunit dana.

"Melihat keadaan semasa dan jumlah pulangan yang dibuat tahun lepas serta penurunan yuran yang dikenakan, kami menjangkakan kadar pulangan untuk dana ini adalah sekitar 2.7 peratus setahun," katanya.

Sementara itu, Ameer berkata syarikatnya kini dalam usaha untuk menukar semua dana konvensional kepada patuh syariah sebelum akhir tahun hadapan.

"Ini adalah bersesuaian dengan aspirasi kami untuk menjadikan ASM Investment sebuah syarikat pengurusan patuh syariah menjelang 2014," katanya.

ASM Invesment merupakan anak syarikat milik penuh PMB dan kini menguruskan 14 dana unit amanah yang dibuka kepada Bumiputera dan semua kaum. - Bernama

No comments:

Post a Comment