Tuesday, 9 October 2012

KPTM Kota Bahru giat promosi pakej belajar di luar negara


KOTA BAHARU - Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kota Baharu kini giat mengadakan promosi di peringkat negara Asean untuk menarik lebih ramai pelajar dari rantau ini menyambung pelajaran mereka di kolej tersebut.
   
Pengarahnya Mohamed Saifuddin Hussin berkata langkah itu selaras dengan pengantarabangsaan kolej yang dijangka didaftarkan sebagai kolej bertaraf antarabangsa tahun depan.
   
"Kita sedang menuju ke arah kolej yang bertaraf antarabangsa sebagai mengikuti langkah yang telah dibuat KPTM induk di Cheras, Kuala Lumpur dan ia selaras dengan saranan yang dikemukakan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
   
"Sehubungan itu, KPTM Kota Baharu kini giat mengadakan promosi di luar negara, terutama di selatan Thailand dalam  usaha memperkenalkan kolej ini di peringkat Asean," katanya ketika ditemui Bernama di sini, hari ini.
   
Saifuddin berkata terkini mereka mengadakan perjumpaan dengan Jabatan Pelajaran Wilayah Selatan  Thailand yang dihadiri oleh 46 pengetua dan kaunselor sekolah menengah di sana baru-baru ini.

"Melalui program promosi itu yang dilakukan sejak penghujung 2011 lalu, kami menerima reaksi positif daripada  pengetua dan kaunselor di sana apabila mereka bersetuju untuk menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) dengan  KPTM Kota Baharu yang akan berlangsung di Kuala Lumpur pada 20 Nov ini.
   
"Ia sebagai persetujuan bagi KPTM Kota Baharu untuk mengambil pelajar dan bekas pelajar sekolah menengah di selatan Thailand bagi mengikuti pelbagai program di peringkat diploma dan ijazah di kolej ini pada tahun hadapan," katanya.
   
Selain itu, Saifuddin berkata pada 17 Nov depan, sekumpulan pelajar, ibu bapa dan guru dari Sungai Golok, selatan  Thailand juga akan mengadakan lawatan ke KPTM Kota Baharu bagi mengetahui lebih lanjut mengenai program yang ditawarkan di kolej cawangan tersebut.
   
Saifuddin berkata selain kursus diploma dan ijazah sepenuh masa, KPTM Kota Baharu juga menawarkan kursus jangka  pendek bahasa Inggeris selama tiga hari dua malam kepada pelajar dari Selatan Thailand bermula tahun depan.
   
"Kita juga turut menerima permintaan untuk menyediakan kursus jangka pendek untuk bahasa Malaysia dan bahasa Arab  kepada pelajar Selatan Thailand tersebut, namun ia masih di peringkat perbincangan.

Dalam perkembangan lain, Saifuddin berkata KPTM Kota Baharu dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut mengadakan  program kerjasama untuk melahirkan usahawan dalam kalangan pelajar kolej tersebut.
   
"Program kerjasama itu dipanggil sebagai Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) di mana seramai 30 pelajar tahun akhir dan bekas pelajar KPTM Kota Baharu akan mengikuti beberapa siri kursus usahawan sebagai galakan untuk mereka terlibat di dalam perniagaan peruncitan.
   
"Kursus itu yang ditanggung sepenuhnya oleh Mara itu akan memberi peluang kepada para pelajar tersebut untuk  mendalami ilmu perniagaan, selain turut diberikan bantuan modal sebanyak RM50,000 selepas mengikuti kursus tersebut untuk membuka perniagaan sendiri," katanya.
   
Saifuddin berkata program itu adalah yang pertama diperkenalkan Mara, dan KPTM Kota Baharu adalah kolej  pertama yang dipilih untuk menyertai program tersebut. - Bernama

No comments:

Post a Comment