Tuesday 16 October 2012

MARA sasar lahir 500 jutawan


Oleh ANI AWANG
utusanpulaupinang@utusan.com.my

BUKIT MERTAJAM 15 Okt. - Majlis Amanah Rakyat (MARA) menyasarkan untuk melahirkan seramai 500 usahawan berstatus jutawan tulen menjelang 2015.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Datuk Mohd. Rosdi Ismail berkata, usahawan yang mahu dilahirkan itu dipilih dalam kalangan mereka yang mampu menjana pendapatan syarikat tidak kurang daripada RM2 juta setahun.

Setakat ini katanya, seramai 139 usahawan bertaraf jutawan telah berjaya dilahirkan.

"Untuk melahirkan usahawan tersebut, MARA akan memperluaskan rangkaian jaringan dan kerjasama perniagaan dengan jabatan dan agensi kerajaan, industri dan komuniti setempat secara lebih bersepadu, menyeluruh dan berterusan.

"Usaha itu akan membolehkan MARA melahirkan 100 usahawan jutawan setiap tahun," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Pelancaran Produk AFA Delight iaitu empat produk teh segera tanpa uncang di sini.

Majlis itu disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kumpulan Sasar Usahawan Belia, Wanita serta Kesejahteraan Rakyat Pulau Pinang, Datuk Arif Shah Omar Shah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Yang hadir sama Pengarah MARA Pulau Pinang, Yahaya Sani.

Mohd. Rosdi berkata, usaha tersebut dilaksanakan menerusi pendekatan bersepadu termasuk mengenal pasti industri yang berpotensi untuk diceburi, menyediakan premis dan tempat menjalankan perniagaan.

"Kita juga akan membimbing untuk membantu usahawan mengeluarkan produk dan perkhidmatan yang mempunyai nilai pasaran secara global," katanya.

Selain itu, MARA menyasarkan untuk melahirkan seramai 40,000 usahawan baru dalam Rancangan Malaysia Kesepuluh (RMK-10) bagi mencapai 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera menjelang 2020.

Beliau berkata, Mara mahu melahirkan kira-kira 8,000 usahawan baharu setiap tahun sejak 2010.

"Sehingga kini, hampir 16,000 usahawan baru dilahirkan bagi membolehkan negara memiliki kumpulan usahawan yang berkebolehan menguruskan perniagaan dengan lebih berdaya maju dan mampu bersaing di pasaran domestik dan antarabangsa," katanya.

MARA kini mempunyai 127,000 usahawan dan daripada jumlah itu, 60,000 orang adalah usahawan yang aktif.

No comments:

Post a Comment