Oleh: Wartawan Sinar Harian
Tarikh: October 28, 2012
KOTA BHARU - Keazaman tinggi untuk mengubah nasib keluarga menjadi prinsip bekas pembantu rumah, Siti Rohajar Mat Jusoh, untuk berjaya dalam pelajaran.
Dia yang juga salah seorang daripada graduan Kolej Islam Sains dan Teknologi (Kist) turut membuktikan kemiskinan bukan penghalang kejayaan sebaliknya menjadi penguat untuk mengejar cita- cita sebagai jururawat.
Menurutnya, walaupun pernah bekerja sebagai pembantu rumah dan datang dari keluarga miskin, dia tetap mampu berjaya berkat usaha dan dorongan ibu bapa serta keluarga bekas majikannya.
“Ketika menjadi pembantu rumah, saya tetap menyimpan cita-cita untuk menyambung pelajaran ke peringkat lebih tinggi.
“Ibu bapa dan majikan memberi galakan supaya saya melanjutkan pengajian, sebelum saya memutuskan untuk mengikuti kursus Diploma Kejururawatan Kist dan mendapat tajaan daripada Majlis Amanah Rakyat (MARA),” katanya.
Siti Rohajar berkata, selepas menamatkan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) dia menjadi pembantu rumah kepada Ketua Pegawai Eksekutif (Pengambilan Pelajar) Kist, Noor Haslina Abdullah hampir setahun dengan pendapatan RM500 sebulan.
Dia yang mendapat keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.42 menasihatkan pelajar senasib dengannya agar tidak menjadikan kemiskinan sebagai pemusnah masa depan sebaliknya menganggap ia sebahagian cabaran.
Sementara itu, ibu Siti Rohajar, Siti Eshah Mat Hasan, 46, ternyata tidak mampu menyembunyikan kegembiraan dengan kejayaan anak sulung daripada tujuh beradik itu dan menyifatkan ia permulaan yang baik untuk anak-anak lain.
Menurutnya yang berasal dari Kampung Baru Hujung Repek, Bachok, Siti Rohajar amat rajin dan tidak mengenal putus asa walaupun hidup serba kekurangan.
“Saya harap kejayaannya akan menjadi pendorong kepada adik-adik lain untuk berjaya,” katanya ketika ditemui semasa menemani Siti Rohajar pada hari graduasinya.
No comments:
Post a Comment