KOTA TINGGI, 2 Okt (Bernama) -- Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) kini menumpukan untuk melahirkan lebih ramai tenaga mahir dalam industri minyak dan gas bagi memenuhi keperluan tenaga kerja yang semakin meningkat dalam sektor berkenaan.
Ketua Eksekutifnya, Datuk Seri Ir Dr Judin Abdul Karim berkata tenaga mahir di kalangan orang muda di dalam sektor itu amat diperlukan ketika ini lebih-lebih lagi dengan wujudnya pembangunan mega Projek Pembangunan Bersepadu Penapisan dan Petrokimia (Rapid) dan Terminal Petroleum Laut Dalam Bebas, dekat Pengerang yang memerlukan kira-kira 100,000 pekerja.
"Kalau dulu, CIDB menumpukan latihan bagi sektor pembinaan bangunan dan jalan, kini kita mengubah untuk melatih tenaga mahir dalam industri minyak dan gas yang dilihat lebih dinamik dan global," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau projek Terminal Petroleum Laut Dalam Bebas, di Tanjung Kapal, dekat Pengerang, di sini, Selasa.
Judin berkata CIDB, menerusi kerjasama pelbagai agensi, termasuk Lembaga Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA), Johor Petroleum Development Corporation Berhad (JPDC), Majlis Amanah Rakyat (Mara) dan Akademi Binaan Malaysia (ABM) buat permulaan akan melatih 300 tenaga mahir di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Bandar Penawar, di sini, bagi memenuhi keperluan industri minyak dan gas seperti yang dibentangkan di dalam belanjawan baru-baru ini.
No comments:
Post a Comment