KUALA LUMPUR: Pengguna Islam perlu menggunakan kuasa membeli mereka mendidik pengeluar dan premis makanan berhubung kepentingan mendapatkan sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) demi pertumbuhan perniagaan mereka pada masa depan.


Setiausaha Eksekutif Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, sebenarnya pengguna Islam perlu berkeras mahukan sijil halal sebelum menjamu selera di restoran atau mana-mana premis makanan atau membeli makanan atau produk pengguna yang lain. 



"Ini bagi memastikan bahawa makanan yang mereka makan atau produk-produk yang mereka guna seperti syampu sudah pasti selamat dan mematuhi undang-undang syariah," katanya ketika ditemui pada Fiesta Halal Malaysia (HALFEST) di Pusat Dagangan Dunia Putra. 


Katanya walaupun produk-produk tanpa sijil halal tidak semestinya tidak halal tetapi tindakan sesetengah pihak menggunakan sijil halal palsu untuk mengelirukan pengguna-pengguna Islam untuk mempercayai bahawa produk itu disahkan halal adalah satu tindakan tidak bermoral dan bertentangan dengan undang-undang," katanya.


Nadzim berkata, undang-undang halal Malaysia dibuat melalui pindaan Akta Perihal Dagangan 1972 yang diluluskan pada Jan 2012 tetapi penguatkuasaannya dilanjutkan sehingga Disember tahun ini.


"Ini bagi mendidik pengguna mengenai hak mereka memilih produk dengan sijil halal dan untuk menunjukkan ahli perniagaan tempatan mengenai potensi makanan halal kepada mereka," katanya.


Oleh itu, beliau menasihatkan syarikat-syarikat yang masih belum memiliki sijil halal JAKIM untuk mengemukakan permohonan mulai sekarang bagi membolehkan mereka merebut potensi dalam makanan halal tempatan dan luar negara. 
Nadzim berkata, penganjur HALFEST termasuk PPIM memutuskan bagi penganjuran tahun depan, syarikat atau usahawan mesti sekurang-kurangnya memulakan proses sijil halal mereka dengan JAKIM sebelum penyertaan mereka dipertimbangkan.



Sementara itu, pengguna yang ditemui menyambut baik penganjuran fiesta lima hari ini yang bermula Rabu lalu kerana ia menyediakan maklumat jelas mengenai produk-produk yang mempunyai sijil halal dan dalam proses berbuat demikian.


Maria Abdul Rahman, 29, dari Puchong berkata beliau melawat pesta ini untuk menyenaraikan produk-produk yang dijual sebagai panduan untuk mengetahui senarai produk halal.


"Apabila ekspo ini berakhir saya boleh mendapatkannya di tempat-tempat lain tanpa bimbang mengenai status halal produk itu," katanya.


HALFEST 2012 anjuran CIMB Islamic dan disokong Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Perbadanan Pembangunan Industri Halal, Majlis Amanah Rakyat (MARA), JAKIM dan PPIM. - BERNAMA