Wednesday 31 October 2012

Bapa 3.93


Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my
PUTRAJAYA: “Pada mulanya memang banyak rintangan kerana saya belajar ketika usia agak lewat, ada yang menyokong dan tidak kurang juga mempersoalkannya. Tetapi bagi saya untuk belajar tiada yang terlambat, lagipun ilmu tidak mengenal usia,” kata Shahrul Efendi Saari, 31, pelajar terbaik keseluruhan Kolej Profesional Mara (KPM).

Bapa kepada anak kecil berusia empat tahun dari Kuala Lumpur itu mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.93.


Menurutnya, kesungguhan di samping sokongan isteri, keluarga, pensyarah dan rakan yang menjadi pembakar semangat sepanjang tiga tahun mengikui pengajian dalam jurusan Diploma Kewangan dan Perbankan Islam di KPM Bandar Melaka.


“Usaha tidak mengenal jemu dan bijak membahagikan masa sebagai ketua keluarga serta pelajar sepenuh masa adalah faktor penyumbang kepada kejayaan saya.


“Mulai pukul 7 pagi hingga 5 petang saya seorang pelajar dan dalam tempoh itu saya cuba siapkan tugasan. Selepas waktu itu saya adalah suami dan bapa,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Konvokesyen KPM 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.



Majlis yang membabitkan 1,266 graduan KPM itu disempurnakan Ketua Pengarah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Ibrahim Ahmad. Turut serta Pengarah Kanan Bahagian Pendidikan Tingginya, Abd Rahim Hashim.


Bagi Shahrul Efendi, lebih manis apabila sepupunya Norazira Azman turut terpilih menerima Anugerah Kecemerlangan Mara (Mopa) pada majlis konvokesyen itu selepas memperoleh PNGK 3.78.


Norazira berkata, dia kagum dengan pencapaian ditunjukkan Shahrul, walaupun sudah berkeluarga, tetapi dapat menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar.


“Dia memang seorang yang bijak dan sememangnya layak untuk diberikan pencapaian berkenaan,” kata gadis lulusan Diploma Pengajian Perniagaan berusia 21 tahun itu. Norazira yang kini menyambung pengajian peringkat ijazah di Universiti Utara Malaysia (UUM) berkata, keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) diperolehnya sebelum ini tidaklah begitu cemerlang, tetapi KPM tetap menyediakan ruang kepadanya untuk mengecapi kejayaan.

No comments:

Post a Comment