Wednesday 24 October 2012

UMK dan MARA jalin kerjasama melalui Latihan Pembentukan Usahawan



NAIB Canselor Universiti Malaysia Kelantan (UMK), YBhg. Prof. Dr. Raduan bin Hj. Che Rose, menerima surat tawaran program Latihan Pembentukan Usahawan (LPU) anjuran Majlis Amanah Rakyat (MARA), daripada Timbalan Menteri KKLW, YBhg. Dato’ Hasan Malek pada Majlis Makan Malam Perdana Bersama Usahawan MARA Kelantan, di sebuah hotel, pada 1 Oktober 2012.

Tawaran program LPU ini merupakan satu lagi jalinan kerjasama antara UMK dan MARA bagi memberi pendedahan kepada pelajar mengenai alam keusahawanan, peluang perniagaan dan juga sumber pembiayaan.

Program latihan ini bagi menyediakan peluang kepada pelajar UMK yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan dibawah bimbingan MARA apabila tamat pengajian nanti menerusi pelbagai pendedahan simulasi keusahawanan serta diberi peluang untuk menjalankan perniagaan.

Sementara itu, pada majlis itu Dato’ Hassan berkata beberapa program Pembangunan Usahawan telah pun dilaksanakan oleh MARA dan telah berjaya melahirkan seramai 1354 usahawan dan bakal usahawan.

Menurutnya, Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) sentiasa mencari mekanisme terbaik untuk membasmi kemiskinan melalui program keusahawanan dan strategi pembudayaan minda keusahawanan dengan menganjurkan seminar keusahawanan serta beberapa kerjasama latihan.

Beliau berkata, pihaknya sentiasa menganjurkan program-program outreach serta pembudayaan minda keusahawanan terutamanya bagi melahirkan usahawan luar dengan memberi pendedahan serta membangunkan budaya keusahawanan.

“Program ini merupakan salah satu daripada outreach program, dimana seminar usahawan diadakan untuk membuka minda dan memantapkan lagi perniagaan mereka. Sebagai contoh, di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA), Bahagian Pembangunan Usahawan berperanan penting untuk menyuburkan minda usahawan di kalangan peniaga-peniaga kecil serta menyediakan individu yang ingin menjadi usahawan,” katanya.

No comments:

Post a Comment