Tuesday 9 October 2012

JKOA bina 41 rumah PBR fasa kedua akhir tahun ini


PONTIAN 8 Okt. - Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) negeri akan membina 41 buah rumah di bawah Program Bantuan Rumah (PBR) fasa kedua bagi masyarakat Orang Asli menjelang akhir tahun ini.

Pengarahnya, Suhairy Abdul Ghani berkata, projek tersebut merupakan susulan daripada kejayaan pembinaan 54 buah rumah PBR fasa pertama bagi memenuhi permintaan mereka yang tidak mempunyai kediaman sendiri.

Menurutnya, sebanyak RM36,000 akan disediakan bagi setiap rumah yang dibina di bawah PBR dan pembinaannya dilaksanakan oleh anak syarikat milik Majlis Amanah Rakyat (MARA).

"Bagi pembinaan rumah PBR fasa pertama, projek tersebut dilaksanakan oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah Strategi Lautan Biru Kebangsaan Tiga dengan pembinaan 47 buah rumah, selebihnya dibina oleh JKOA," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis penyerahan kunci rumah PBR kepada enam penerima oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Ahmad Maslan di Kampung Sri Mahkota, Pontian Besar di sini semalam.

Hadir sama Pegawai Daerah Pontian, Muji Salimon; Pegawai Memerintah 10 Rejimen Askar Melayu Diraja Kem Majidie Johor Bahru, Leftenan Kolonel Hamdan Musa dan Penghulu Orang Asli Pontian Besar, Othman Abu Bakar.

Suhairy turut berterima kasih kepada pihak ATM kerana berjaya melaksanakan projek tersebut mengikut masa yang ditetapkan, sekali gus menggembirakan para penerima.

"Seramai 80 pegawai dan 105 anggota daripada Rejimen Askar Jurutera Diraja bersama anggota daripada Briged Pertama Infantri Kem Mahkota, Kluang terlibat dalam pembinaan rumah PBR di Kampung Sri Mahkota itu," katanya.

Sementara itu, Othman turut melahirkan perasaan gembira dengan projek yang dilaksanakan khususnya bagi enam penerima yang sekian lama menunggu untuk memiliki kediaman sendiri.

Menurutnya, Kampung Sri Mahkota yang dibuka pada 2002 kini mempunyai 90 rumah dengan penduduk dianggarkan seramai 500 orang, namun masih memerlukan kemudahan asas seperti jalan berturap dan dewan.

Selain menyerahkan kunci rumah, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian turut merasmikan surau serta jambatan di kampung tersebut bagi kemudahan mereka beribadat serta melakukan urusan seharian.

No comments:

Post a Comment