Thursday 18 October 2012

Lebih banyak Pusat GIATMARA akan dibina di seluruh negara

KUCHING: Lebih banyak Pusat GIATMARA akan dibina di seluruh negara sebagai antara usaha melahirkan lebih ramai generasi muda berkemahiran, malah sebagai usahawan.


LAHIR BELIA MAHIR: Shafie memotong reben bagi merasmikan Pusat GIATMARA Stampin, semalam. Turut kelihatan, Julaihi (kiri) dan Len Talif (tiga kanan).
Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Shafie Apdal yang berkata demikian menambah, pusat-pusat baharu akan ditubuhkan berdasarkan kedudukan kewangan dan permintaan daripada penduduk di sesebuah kawasan.

“Setakat ini, kita telah melahirkan setiap tahun hampir 35,000 orang anak muda pelbagai kemahiran dalam bidang teknikal.

“Ini bukan hanya untuk memastikan mereka mempunyai kemahiran bagi mendapatkan pekerjaan, bahkan juga untuk melatih mereka menjadi usahawan berjaya dan berdikari,” katanya ketika merasmikan Pusat GIATMARA Stampin di sini, semalam.

Hadir sama, Menteri Muda Pembangunan Luar Bandar Julaihi Narawi, Menteri Muda di Pejabat Ketua Menteri Datu Len Talif Salleh, Pengerusi GIATMARA Datuk Shahiruddin Ab Moin dan Pengurus Besar GIATMARA Sarawak Rakawi Nawi.

Shafie berkata, Majlis Amanah Rakyat (MARA) turut menyediakan bantuan kewangan sebagai permulaan untuk lulusan GIATMARA memulakan perniagaan.

Antara bidang yang dibantu ialah automotif, membaiki motosikal, dandanan rambut dan rekaan pakaian.

Setakat ini, 231 Pusat GIATMARA dibina di setiap kawasan Parlimen di seluruh negara.

“Saya yakin mereka yang kita lahirkan (lepasan GIATMARA) dapat melengkapkan persediaan anak muda kita sebagai mereka yang berupaya menikmati ke-makmuran negara.

“Ini kita akan teruskan di peringkat bandar dan luar bandar,” katanya.

Sementara itu, Pusat GIATMARA Stampin yang menelan kos RM7 juta menawarkan lima kursus. Kursus tersebut ialah Rekaan Grafik dan Pengiklanan, Teknologi Fotografi, Seni Kulinari, Bakeri dan Fesyen dan Pembuatan Pakaian.





-pusat-giatmara-akan-dibina-di-seluruh-negara/#ixzz29etpl3NB

No comments:

Post a Comment