Wednesday 24 October 2012

MARA lahir lima kelompok usahawan


PAGOH - Majlis Amanah Rakyat (MARA) berhasrat melahirkan lima kelompok utama usahawan bagi melonjakkan golongan berkenaan dalam menghadapi persaingan sengit pada masa depan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal berkata, lima kelompok tersebut ialah usahawan korporat, teknousahawan, usahawan peruncitan, usahawan pembuatan dan kontraktor berwibawa.

Beliau berkata, usaha itu dipacu dengan strategi pembangunan usahawan baru, pemantapan usahawan sedia ada dan pembangunan enterprise menerusi program pembentukan usahawan, pemasaran, peluang perniagaan, penjenamaan, pembiayaan, latihan industri dan premis perniagaan.

"Bagi melancarkan inisiatif MARA, saya menyeru agar semua agensi termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) serta penggiat utama industri memberi kerjsama sebaik mungkin kepada agensi yang dirintis MARA untuk kepentingan bumiputera," katanya pada Karnival Keusahawanan dan Pendidikan Johor anjuran Mara hari ini.

Karnival yang diadakan di Kompleks Sukan Pagoh, di sini dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang, Ketua Setiausaha Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Ibrahim Muhamad dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Ibrahim Ahmad.

Shafie berkata, golongan usahawan kecil akan dikembangkan menerusi program 'Groombig' termasuk mewujudkan Kompleks Industri Makanan MARA (Kimar) di Gombak, Selangor yang dibuka khusus untuk pengilang makanan halal, Inkubator Teknologi Makanan MARA (Intem) di Kepong yang menjadi pusat latihan dan pembangunan usahawan dalam bidang makanan serta mewujudkan Taman Pengeluaran Produk Usahawan (TPPU) di Pedas, Negeri Sembilan.

"Kita juga telah mewujudkan sebanyak 20 Kawasan Industri MARA (KIM) di seluruh negara dan empat KIM terlibat dalam industri makanan iaitu di Pengkalan Chepa, Batu Caves, Tambun dan Kuala Perlis yang digazetkan sebagai Pusat Halal MARA," katanya.

Bagi negeri Johor, MARA pada tahun lalu telah meluluskan pembiayaan perniagaan berjumlah RM43 juta kepada 500 usahawan, katanya.

"Di daerah Pagoh, kita telah memperuntukkan RM5 juta untuk membiayai 45 peserta Program Keusahawanan, Program Basmi Kemiskinan, Program Usahawan Terknikal dan Pembiayaan Pernbiagaan," katanya.

No comments:

Post a Comment