BAGI terus mengangkat martabat wanita sebagai tulang belakang pembangunan negara, majalah Wanita, terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd., buat kali ketiga akan menganjurkan Anugerah Wanita Ikon (AWI) 2011/2012.
Majlis berprestij itu bertujuan mengiktiraf sumbangan dan pengorbanan wanita Malaysia dalam mengukir kejayaan dalam bidang masing-masing.
Majalah Wanita membuktikan komitmennya terhadap pemerkasaan golongan wanita Malaysia ke tahap yang cemerlang bagi bersama membantu memacu kemajuan negara tercinta.
Bertuah ditemukan jodoh dengan Majlis Amanah Rakyat (MARA), Wanita menyambut salam MARA untuk mengadakan kerjasama strategik bagi merealisasikan Malam Gala Anugerah Wanita Ikon 2011/2012 kali ini.
Sokongan dan kerjasama yang diberikan oleh MARA dalam penganjuran ini amat dialu-alukan dan dikalungkan dengan terima kasih memandangkan MARA cukup akrab dengan peranan murninya membantu, mendidik dan membimbing usahawan untuk berjaya terutama golongan wanita.
“Kerjasama strategik ini diharap akan membuka peluang kepada usahawan dan wanita Malaysia yang berpotensi dan berwawasan untuk mencapai impian mereka berjaya gemilang dalam bidang yang diceburi termasuk juga pembaca WANITA,” kata Pengarang Wanita, Normala Hamzah.
Menurut Normala, sebagai perintis majalah untuk wanita yang pertama di Malaysia dan seiring dengan aspirasi untuk menyaksikan lebih banyak kemajuan dan kejayaan dilakar oleh kaum Hawa maka Wanita terpanggil meneruskan anugerah ini yang dirasakan amat bermakna buat kaum wanita Malaysia.
“Wanita turut memaparkan kecemerlangan golongan ini dalam pelbagai bidang sebagai pengisiannya untuk dikongsi dengan pembaca dan masyarakat di luar sana menerusi segmen Wanita Cemerlang, Personaliti, dan Usahawan Wanita.
“Sedikit sebanyak mereka yang pernah tersiar ceritanya dalam Wanita telah memberi inspirasi kepada wanita lain untuk berjaya.
”Mereka ini secara automatik di senarai pendek untuk diketengahkan sebagai calon AWI 2011/2012. Pada masa yang sama persatuan, pertubuhan wanita, individu, syarikat swasta dan korporat serta syarikat yang merasakan mereka ada calon berpotensi untuk diketengahkan sebagai calon boleh berbuat demikian dengan mengirim biodata dan profil calon berkenaan kepada kami untuk dipertimbangkan,” tambah Normala.
Selain bertujuan berkongsi kisah kejayaan wanita-wanita dinamis berkenaan untuk dijadikan teladan atau role model, ia juga diharap mampu menyuntik inspirasi kepada wanita lain yang ingin mencipta kejayaan baik di rumah mahupun dalam dunia kerjaya.
Sejarah
Anugerah WANITA Ikon pertama kali diperkenalkan pada tahun 2007 yang menyaksikan ahli perniagaan Syarikat Megah Padu merangkap usahawan produk kecantikan Kayla Beverly Hills Datuk Normaziah Sheikh Mohamad dinobatkan sebagai penerima Anugerah WANITA Ikon 2007.
Tahun berikutnya pula, Anugerah WANITA Ikon 2008 dirangkul oleh pemilik D’Navechee Beauty (M) Sdn. Bhd., Datuk Azlina Che Abdullah. Kedua-dua pemenang Anugerah Wanita Ikon berkenaan turut aktif dalam kerja-kerja amal.
Dua tahun diadakan, AWI turut menobatkan Gabenor Bank Negara, Tan Sri Dr. Zeti Akhtar sebagai Tokoh AWI 2007 dan Tan Sri Rafidah Aziz terpilih untuk menerima Anugerah Tokoh Wanita 2008 berdasarkan jasa dan sumbangan mereka terhadap kemajuan ekonomi negara dan pembangunan wanita.
“Tahun ini penganjur memperkenalkan satu kategori baru Anugerah Gadis Ikon 2011/2012 yang akan memilih seorang wanita muda yang unggul dalam bidang yang diceburi bagi empat kategori, sukan, pendidikan, sosial dan perniagaan sebagai menghargai golongan wanita muda yang turut memainkan peranan penting dalam pembangunan negara,” jelas Normala.
Malam gala AWI 2011/2012 akan berlangsung di Hotel Royale Chulan, Kuala Lumpur pada 30 November 2012. Sebanyak lima calon dipilih untuk diadili oleh panel juri, tetapi hanya seorang yang akan di nobat sebagai Wanita Ikon 2011/2012.
Mereka juga diwajibkan menyertai kerja amal yang ditentukan penganjur sebagai syarat penyertaan. Tarikh akhir pencalonan adalah 15 Oktober 2012.
Selain MARA, rakan strategik yang telah mengesahkan penyertaan mereka adalah L’OrealL, Alfio Raldo, D’Navechee, Harmony dan RTM (Apa Kata Wanita).
Pihak penganjur mengalu-alukan pencalonan daripada pertubuhan wanita, pihak korporat dan individu yang berkelayakan. Sila hantar biodata calon ke ke alamat, Majalah Wanita, Lot 6, Jalan P/10, Seksyen 10, Kawasan Perusahaan Bangi, 43650 Bandar Baru Bangi, Bangi, Selangor atau e-mel ke wanitauksb@gmail.com.
Jika berminat memeriahkan majlis sebagai tetamu sila hubungi Sekretariat AWI 2011/2012 di talian 03-89262999/89268393 sambungan 468/471/469 untuk maklumat lanjut mengenai pembelian meja dan lain-lain.
No comments:
Post a Comment