Monday, 15 October 2012

Mohon naik taraf KPTM


Oleh HAYATI IBRAHIM
ya_t@hmetro.com.my

PUTRAJAYA: Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) berharap Kementerian Pengajian Tinggi mempertimbangkan permohonan institusi itu untuk menaiktaraf KPTM Kuala Lumpur (KL) ke Kolej Universiti berikutan kecemerlangan kampus itu melahirkan ramai pelajar terbaik.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hassan Malek, berkata permohonan untuk menaik taraf itu sudah dikemukakan kepada KPT, dan pihaknya sedang menunggu maklum balas dari kementerian berkenaan.


“Sudah tiba masanya KPTM KL dinaik taraf kerana institusi berkenaan sudah melahirkan ramai pelajar cemerlang, sudah tiba masanya ia menawarkan ijazah yang dikeluarkan sendiri institusi itu memandangkan ketika ini kebanyakannya dilakukan melalui kerjasama dengan universiti lain.


“Kita harap permohonan ini dapat disegerakan, sekali gus memberi peluang kepada lebih ramai pelajar untuk mengikuti pengajian di institusi itu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan istiadat Konvokesyen ke-29 KPTM di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini, semalam.


Hadir sama, Pengerusi KPTM, Datuk Sohaimi Shahadan; Presiden KPTM, Datuk Yusoff Harun dan Timbalan Naib Canselor-Akademik Coventry University, United Kingdom, Prof Dr Ian Marshall.



Seramai 3,730 graduan daripada tujuh kampus menerima ijazah, diploma dan sijil profesional masing-masing dan konvokesyen selama dua hari berakhir hari ini.



Pada majlis sama, Hassan turut menyampaikan anugerah kecemerlangan pelajar kepada 107 graduan bagi empat kategori iaitu dua penerima Anugerah Pingat Emas; 22 penerima pingat Perak; 77 penerima Anugerah Khas Presiden dan enam penerima Anugerah Khas Ko-Kurikulum.


Sementara itu, Yusoff berkata, mulai tahun depan KPTM mensasarkan untuk menghantar 200 pelajar cemerlang untuk mengikuti pengajian di luar negara selaras dengan usaha mengantarabangsakan institusi itu.

Ia berikutan kejayaan enam pelajar diploma melanjutkan pengajian ke beberapa universiti di Britain menerusi saluran pemindahan kredit.


Setiap tahun, 14 peratus daripada graduan yang dilahirkan KPTM mempunyai Himpunan Purata Nilai Gred (HPNG) melebihi 3.5, jika ada 3,000 graduan jadi mungkin ada 300 yang berpeluang ke luar negara.



“Tetapi Majlis Amanah Rakyat (MARA) hanya memberikan kuota 200 pelajar setahun, jadi mulai tahun depan sekurang-kurangnya 200 pelajar cemerlang akan belajar di beberapa universiti di Britain,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : 2012/10/14

No comments:

Post a Comment