Friday 7 September 2012

MARA sedia RM18 juta untuk pembangunan usahawan Pulau Pinang

GEORGE TOWN - Majlis Amanah Rakyat (MARA) memperuntuk sebanyak RM18 juta untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan usahawan Bumiputera di Pulau Pinang sepanjang tahun ini. 

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) Mohd Rosdi Ismail berkata daripada jumlah berkenaan sebanyak RM11 juta dikhaskan untuk Program Pembiayaan Usahawan. 

"Peruntukan selebihnya akan digunakan untuk melaksanakan pelbagai program pembangunan menerusi penganjuran persidangan, pameran dan promosi mengetengahkan usahawan berkelayakan bukan sahaja pada peringkat tempatan malah antarabangsa," katanya kepada Bernama selepas menyaksikan pelancaran produk kecantikan terbaharu keluaran Syarikat Jepara Marketing di sini. 

Katanya peruntukan pembiayaan tahun ini masih berbaki sebanyak RM4.5 juta justeru beliau menggesa usahawan Bumiputera yang masih belum berdaftar dengan mana-mana agensi supaya berbuat demikian agar bantuan dapat disalurkan kepada mereka dengan segera. 

Rosdi turut menyarankan usahawan menggunakan peluang berkenaan dengan sebaik-baiknya bagi meningkatkan keupayaan perniagaan seterusnya melaksanakan tanggungjawab untuk membuat bayaran balik pinjaman mengikut tempoh yang ditetapkan.

Katanya beberapa tahun kebelakangan ini MARA mendapati kesedaran membayar semula pinjaman dalam kalangan usahawan di negeri ini sangat memuaskan.

"Menerusi jalinan kerjasama dengan agensi lain seperti Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan, pergerakan usahawan dapat dipantau dan kami juga jalankan pelbagai program untuk meningkatkan kesedaran usahawan bagi membayar semula pinjaman mereka," katanya. 

Beliau berkata terdapat kira-kira 4,000 usahawan Bumiputera di Pulau Pinang dan sebahagian besar dibiayai MARA. - Bernama

No comments:

Post a Comment