Tuesday 25 September 2012

MARA terokai lebih banyak peluang latihan industri di Jepun


25 September 2012

HAMAMATSU, Jepun -  Majlis Amanah Rakyat (MARA) sedang meneroka lebih banyak peluang latihan industri di Jepun kepada pelajar tajaannya di masa depan.

Perkara ini merupakan antara yang ditekankan dalam lawatan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal selama lima hari ke negara matahari terbit itu yang berakhir semalam.

Dalam pertemuan dengan Gabenor Wilayah Aichi, Hideaki Oomura serta Datuk Bandar Toyota Toshihiro Ota, soal peluang pendidikan dan pekerjaan kepada pelajar tajaan MARA telah dibincangkan selain soal jalinan ekonomi antara Malaysia dan Jepun.

Dalam lawatan itu Mohd Shafie turut mengadakan pertemuan dengan pemain industri pada satu majlis makan malam, yang antara lain bertujuan mengukuhkan lagi hubungan kerjasama antara MARA dengan pemain industri.

Ini sekaligus dilihat dapat membuka peluang baharu bagi MARA untuk menghantar lebih ramai pelajarnya melanjutkan pelajaran dan menjalani latihan perindustrian di Jepun.
     
Dalam satu pertemuan dengan peserta latihan industri tajaan MARA di sini semalam, Mohd Shafie menasihati mereka supaya berusaha gigih dan jangan menyimpan perasaan rendah diri jika hendak meraih kejayaan di masa depan.

"Jangan kita berasa rendah diri. Kita kena ada impian tetapi impian sahaja tidak cukup perlu rajin.

"Kita kena rajin dan kerja dengan bijak. Tetapi kerja dengan bijak sahaja kalau tidak rajin tidak ada gunanya," katanya dalam pertemuan dengan 30 peserta latihan itu.

Kesemua mereka sedang menjalani latihan selama tiga tahun di beberapa syarikat seperti Yamaha Hatsudoki Co, Nakamura Constraction Co, Hamamatsu Chamber of Commerce and Industri serta Hitaci Kogyo Co.

Shafie menyebut contoh jutawan bumiputera Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary yang kini menjadi ahli perniagaan yang bermula daripada pinjaman yang kecil daripada MARA tetapi atas usaha yang gigih Syed Mokhtar kini berjaya dan boleh dijadikan ikon kepada bumiputera yang lain.

"Beliau (Syed Mokhtar) mendapat bantuan pinjaman perniagaan sebanyak RM110,000 daripada pihak MARA... banyak peniaga Bumiputera bermula dengan modal yang kecil tetapi akhirnya dengan usaha gigih, perniagaan mereka terus berkembang," katanya.

Mohd Shafie yang diiringi isteri, Datin Seri Shuryani Shuaib dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4 petang ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment