Sunday 30 September 2012

Bajet 2013: Pelajar Institusi Pendidikan MARA rebut peluang insentif


30 September 2012

MELAKA - Pelajar institusi pendidikan Majlis Amanah Rakyat (MARA) diminta merebut peluang atas pelbagai insentif yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Belanjawan 2013, Jumaat lepas.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek berkata pelajar khususnya dalam bidang kemahiran perlu lebih inovatif dan kreatif bagi meningkatkan taraf sosioekonomi mereka.

Sebagai contoh katanya pelajar dalam bidang automotif boleh merebut peluang menjadi usahawan dalam bidang berkenaan melalui dana yang diwujudkan kerajaan.

"Kita mahu pelajar di bawah MARA menggunakan kemahiran yang dipelajari untuk dibawa ke satu tahap lebih tinggi, bukan sekadar menjadi pekerja yang boleh membaiki kereta di bengkel-bengkel," katanya kepada pemberita selepas merasmikan IPMArace di Melaka International Motosports Circuit di sini, hari ini.

Sebanyak 27 pasukan daripada institusi pendidikan MARA dan institusi pengajian tinggi tempatan menyertai perlumbaan bertujuan memberi peluang kepada pelajar mengaplikasi kemahiran teknikal dalam menghasilkan jentera lumba.

Perdana Menteri dalam Belanjawan 2013 melancarkan pertandingan 'Lautan Biru 1Malaysia For Youth' atau 1M4U bagi golongan belia mempersembah idea kreatif dan inovatif menerusi pertandingan di peringkat tempatan, negeri dan kebangsaan.

Bagi membantu usahawan muda dalam bidang informasi, komunikasi dan teknologi (ICT), sebuah yayasan dengan nama 'New Entrepreneur Foundation' akan ditubuhkan dengan peruntukan permulaan RM50 juta bagi program latihan dan bimbingan selain 'Young Entrepreneur Fund' juga diwujudkan dengan peruntukan RM50 juta, disediakan SME Bank.

Dana pinjaman mudah alih itu bagi belia berumur 30 tahun ke bawah dengan subsidi kadar pinjaman sebanyak dua peratus dan had maksimum pinjaman sebanyak RM100 ribu serta bayaran balik, selama tujuh tahun.

Dalam pada itu, Hasan turut meminta tenaga pengajar di institusi pendidikan MARA agar membantu para pelajar dengan memberi galakan dan bimbingan bagi membolehkan mereka mencapai cita-cita. - Bernama

No comments:

Post a Comment