Wednesday, 5 September 2012

Bakal disemadi di Putrajaya


PUTRAJAYA: Jenazah Adzreen Dimyati, 22, pelajar Malaysia tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) yang maut dalam kemalangan di Nizhny, Russia, kelmarin akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Presint 20 di sini, sebaik tiba di tanah air.

Ibu saudara mangsa, Datuk Rabe’ahtul A Abbas (gambar) berkata, pagi semalam, pihak keluarga dimaklumkan proses bedah siasat ke atas jenazah sudah selesai dijalankan.

“Kakitangan JPA dan Kementerian Luar sedang menguruskan jenazah anak saudara saya untuk dibawa ke Moscow bagi urusan memandi dan mengafankan jenazah. Namun, kami belum mendapat pengesahan bila jenazah dibawa pulang,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Adzreen, 22, pelajar perubatan tahun lima, Nizhny Novgorod State Medical Academy, Russia, adalah antara dua pelajar Malaysia yang maut dalam kemalangan jalan raya ketika dalam perjalanan pulang ke akademi itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa di Moscow.

Seorang lagi maut adalah Hanisah Mohd Shah, 22, pelajar tajaan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang berasal dari Dungun, Terengganu. 

Lima pelajar lain cedera iaitu Siti Nadiah Abdullah Sani, Nurul Amirah Mohd Nor, Nor Hidayah Jailuddin, Nur Liyana Kamarul Bahrin dan Siti Romeza Abdul Raza, yang masih ditempatkan di Hospital Viyazniky di Vladimirskaya.

Sementara itu, keluarga Adzreen termasuk kembarnya, Adzwin enggan ditemu bual kerana masih bersedih dengan kejadian berkenaan.

Ketika wakil Harian Metro mengunjungi rumah keluarga mangsa di Presint 9, di sini, semalam, Adzwin yang membuka pintu hanya memaklumkan keluarganya sedang berehat dan enggan ditemu bual.

Dia yang kelihatan sugul berkata, mereka menerima kunjungan ramai kawan arwah dan keluarga lain yang datang menziarah sejak pagi.

Namun, Adzwin menerusi laman sosial facebook (FB) didapati turut memuat naik kenyataan mendoakan kembarnya ditempatkan di kalangan hamba yang paling disayangi dan dimasukkan ke syurga bersama orang paling tinggi iman serta takwanya.

Antaranya berbunyi: “Innalillahi wainna ilaihi raji’un. ‘Kullu nafsin dzaiqatul maut’ (Setiap yang bernyawa akan merasai mati dan kepada-Nya kita akan kembali).

“Ya Allah, jauhkanlah Adzreen Dimyati dan kami semua dari seksaan kubur dan api neraka-Mu. Masukkanlah aku, seluruh keluargaku, semua hamba-Mu yang beriman dan bertakwa dalam kalangan hamba-hamba yang Engkau sayangi...Amin.”
Artikel ini disiarkan pada : 2012/09/05

No comments:

Post a Comment